PENJAHAT yang hanya berbikini, pemburu penjenayah tanpa baju dan anggota polis segak kini menjadi pertaruhan penerbit untuk menarik minat orang ramai menyaksikan kemunculan semula siri popular 1970-an, Hawaii Five-O.
PENYIASAT SEKSI...Grace Park membawa watak Kona ‘Kono’ Kalakaua dalam kelahiran semula siri popular 1970-an.
Memanglah - sesuai dengan zamannya - Hawaii Five-O edisi 2010 muncul bersama penampilan serba baru dan padat dengan adegan aksi mencemaskan serta lebih seksi berbanding versi asal.
Ia ditambah pula dengan penampilan pelakon popular seperti Daniel Dae Kim, Grace Park dan Taryn Manning.
Dalam episod pertama, dua watak utama siri itu, Steve McGarret (lakonan Alex O’Loughlin) dan Danny ‘Danno’ Williams (Scott Caan) diperkenalkan secara kebetulan dalam babak mengejutkan.
Kedua-dua anggota polis itu terpaksa mengeluarkan senjata masing-masing kerana saling tidak mengenali, sehinggalah kebenaran terpampang apabila mereka memperkenalkan diri.
Kedua-dua mereka - sebenarnya - menyiasat kes sama, iaitu kematian bapa McGarret.
Namun, keadaan tidak berubah menjadi lebih baik.
Selepas pertemuan pertama, hubungan McGarret dengan Danno terus buruk dan mereka bergaduh sesama sendiri.
Malah, Danno sempat menumbuk pasangannya itu dan secara terbuka mengaku membencinya.
Hubungan itu hanya menjadi lebih harmoni apabila plot episod berkenaan berkembang dan kedua-dua mereka menyertai operasi menyerbu sebuah bot.Sementara itu, kemunculan Grace (membawa watak anggota polis, Kona Kalakaua) dilihat membawa unsur tarikan seks kepada siri berkenaan.
Melalui episod pengenalan itu, dia ‘bermurah hati’ menayang tubuh gebunya dalam dua babak berasingan.
Hawaii Five-O asal menjalani penggambaran di Honolulu, Hawaii, selain banyak kepulauan berhampiran.
Dalam episod tertentu, penerbit turut menggunakan Los Angeles, Singapura dan Hong Kong sebagai lokasi tambahan untuk menambah perisa cerita berkenaan.Selama 12 musim, siri popular itu menampakkan ejen rahsia, penjenayah dan sindiket Mafia melatari perkembangan kepulauan percutian serba indah itu.
Alex Kurtzman, Roberto Orci dan Peter Lenkov bersetuju bergabung untuk menghasilkan pembikinan semula siri berkenaan dan membelanjakan bajet besar bagi menarik penonton menyaksikannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: