|
|
RAMAI yang beranggapan aktiviti pada bulan Ramadan agak terbatas terutama di kalangan penganut agama Islam kerana mereka berpuasa dengan menahan lapar serta dahaga.
Namun bagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kebanyakannya beragama Islam, Ramadan sama seperti bulan-bulan yang lain.
Tiada bezanya bagi mereka menjalankan operasi dalam bulan Ramadan kerana operasi mencari dan menyelamat, mengawal keselamatan perairan, mencegah pencemaran serta memberi perkhidmatan sokongan di zon maritim Malaysia tetap dilakukan.
Jika tidak dilakukan, aktiviti penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kegiatan-kegiatan haram atau tanpa lesen di perairan negara mungkin akan berleluasa.
Operasi APMM
Sememangnya APMM memainkan peranan yang sangat besar dalam perkhidmatan menjaga kesejahteraan kawasan maritim negara menerusi pembahagian banyak fungsi di bawahnya.
Antara fungsi utamanya adalah menjalankan operasi mencari dan menyelamat, mengawal keselamatan perairan, mencegah pencemaran serta memberi perkhidmatan sokongan di zon maritim kepada agensi lain yang memerlukan.
Mungkin ramai yang kurang menyedari tentang kewujudan agensi ini, namun APMM sebenarnya memainkan peranan sangat penting dalam menjaga kedaulatan zon maritim negara menerusi pengawasan udara dan pantai.
Penubuhan APMM dilaksanakan menerusi kajian oleh Kerajaan Malaysia pada April 1999 berkaitan pengurusan maritim yang tidak begitu berkesan dan melibatkan terlalu banyak agensi.
Ia disebabkan oleh pertindihan fungsi, tanggungjawab, bidang kuasa serta penggunaan sumber yang kurang berkesan.
Lanjutan daripada itu, Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 telah diwartakan pada 1 Julai 2004 dan mula dikuatkuasakan menjelang 15 Februari 2005.
APMM pula telah memulakan operasinya pada 30 November 2005 sebelum dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac 2006 di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
Peringkat awal perkhidmatan APMM memberi tumpuan pada operasi di sekitar Selat Melaka dan Pantai Timur Semenanjung diikuti operasi di Wilayah Sabah serta Labuan pada 21 Jun 2006 dan Wilayah Sarawak bermula 1 September 2006.
Tanggungjawab APMM di Zon Maritim Malaysia adalah merangkumi sehingga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari pantai.
Peluang melihat Operasi APMM
Baru-baru ini, para petugas media berpeluang mengikuti Operasi Penguatkuasaan agensi itu bersama Kapal Penggalang 1 di perairan Pelabuhan Klang.
Operasi bermula kira-kira pukul 3.20 petang itu hanya tertumpu di kawasan perairan Pelabuhan Klang yang menjadi tumpuan kemasukan kapal-kapal kecil mahupun besar dan juga feri untuk ke pelabuhan tersebut.
Memulakan rondaan kira-kira pukul 3.30 petang, operasi melibatkan lapan orang anggota APMM itu telah menahan feri MV Indomal Ekpress 3 untuk tujuan pemeriksaan.
Ketika operasi dibuat, anggota APMM membuat pemeriksaan ke atas semua penumpang dalam feri tersebut bertujuan mengesan sekiranya terdapat PATI.
Selain itu, anggota APMM juga membuat pemeriksaan ke atas barang-barang yang dibawa oleh penumpang feri tersebut bagi mengelak berlakunya aktiviti penyeludupan.
Kira-kira 20 minit membuat pemeriksaan, tiada tangkapan dibuat.
Meneruskan operasi, kira-kira pukul 4 petang, anggota APMM menahan kapal kedua iaitu MV Putrarupat. Ketika ditahan kapal itu membawa bungkusan arang untuk menuju ke Pelabuhan Klang.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu mempunyai permit yang sah untuk membawa bungkusan arang tersebut.
Melihat pada raut wajah anggota APMM, tidak kelihatan penat walaupun bertugas di lautan ketika bulan Ramadan. Baru dua kapal ditahan, petugas media yang mengikuti operasi itu sudah mula keletihan.
Walaupun cuaca agak panas, operasi tetap diteruskan. Kira-kira pukul 4.20 petang, sebuah bot kecil yang membawa anak pokok bakau ditahan.
Hasil pemeriksaan, bot milik seorang warga Indonesia yang sudah memiliki kerakyatan negara ini mempunyai permit yang sah dan tiada kesalahan dilakukan.
Petugas media masih menunggu kalau-kalau ada kapal atau bot yang ditahan atas kesalahan tertentu.
Namun sehingga pemeriksaan keempat iaitu ke atas feri Boeing Sky King II kira-kira pukul 4.45 petang, tiada tangkapan atau kesalahan dikenalpasti.
Jam sudah menunjukkan pukul 5.20 petang. Operasi diteruskan dengan anggota APMM menahan sebuah lagi feri iaitu Millennium 2 Ekpress.
Hasil pemeriksaan ke atas semua penumpang di dalam feri itu juga mendapati semuanya memiliki permit perjalanan yang sah.
Setelah lima penahanan dibuat, operasi tersebut dihentikan pada kira-kira pukul 6 petang.
Walaupun tiada tangkapan dan kesalahan dikenalpasti ke atas kapal, feri dan bot yang diperiksa, petugas media begitu teruja melihat kesungguhan anggota APMM menjalankan tugas walaupun ketika berpuasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: