|
|
MEMBAWA gelaran sebagai fabrik warisan bangsa, persalinan daripada kain tenun benang kapas mempunyai tempat cukup istimewa terutama pada hari-hari keraian seperti Hari Raya Aidilfitri.
Bukan sekadar memartabatkan fabrik warisan, lebih penting memastikan ia kekal di hati generasi muda.
Mendukung aspirasi sama, An Nuur Collections memilih untuk menghasilkan rekaan baju kurung daripada fabrik kain tenun benang kapas bagi mereka yang inginkan gaya yang berbeza juga keselesaan.
Pemiliknya, Juhara Ibrahim berkata, fabrik itu disenangi kerana sifatnya yang serap peluh dan sejuk di kulit. Ia membuatkan si pemakai berasa selesa dalam apa juga suasana.
Bercorak kekotak dan jalur, baju kurung pesak gantung kain tenun memang sukar diperoleh kerana tidak banyak butik yang menjualnya.
Kebanyakan butik atau kedai menjual baju kurung yang hampir sama dengan butik lain. Sememangnya setiap tahun potongan baju kurung tidak banyak berbeza.
Cuma kini corak dan warna dipelbagaikan bagi membolehkan pelanggan mempunyai banyak pilihan. Terdapat banyak corak baru yang kontemporari dan tiada pada jualan yang lalu.
''Corak sebegini tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Lihat sahaja kain tenun lama yang berusia beratus tahun namun masih diminati hingga ke hari ini.
''Lagipun kain tenun kapas ini dibuat daripada kapas berkualiti dan memang selesa dipakai ketika berada di rumah menyambut tetamu atau pergi berziarah,'' ujar Juhara.
Menurut Juhara, bagi memberi peluang kepada semua wanita dapat memakainya, kini beliau membuat lebih banyak saiz daripada saiz SS, S, M, L dan XL.
Kepada wanita yang ingin menempah sendiri mengikut rekaan yang mereka suka, Juhara kini menjual kain tenun ela yang boleh dijadikan sepasang baju.
Katanya, selain boleh dijadikan pakaian wanita, kain ela itu juga boleh dijadikan baju kasual lelaki, baju Melayu dan baju kanak-kanak. Pelanggan juga boleh menempah tudung yang awningnya dibuat daripada kain yang sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: