|
|
HATI wanita mana yang tidak tersentuh apabila tiada lagi orang tersayang di sisi menyambut kehadiran bulan Ramadan yang cukup dinanti-nantikan.
Perasaan itulah yang dialami oleh penyanyi bersuara mantap, Ramlah Ram apabila Ramadan 1431 Hijrah dilalui tanpa mereka yang pernah mendampingi hidupnya selama ini.
Pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Ram Mohammed pada 29 Januari lalu sememangnya telah meninggalkan kesan yang bukan kecil buat diri Ramlah.
Hatinya benar-benar sayu dan tersentuh apabila tiada lagi kelibat dan keletah arwah bapanya yang banyak menyokong perjalanan seninya selama ini.
Tidak cukup dengan itu, tahun ini juga buat pertama kalinya, Ramlah melalui hari-harinya dalam bulan Ramadan tanpa insan bersama suami di sisi.
Barangkali umum sudah mengetahui perkahwinan Ramlah bersama Kamal Roslim yang dibina 10 tahun lalu sudah pun menemui titik noktahnya sekitar pertengahan tahun ini.
Tetapi bagi Ramlah, apa yang berlaku dianggapnya sebagai takdir dan dia sendiri tidak mahu mengulitinya dengan kesedihan itu.
Kata Ramlah, dia cukup bertuah kerana masih lagi memiliki keluarga yang tidak pernah lelah menyokong dan membantunya di kala dia memerlukan tempat untuk mengadu.
"Memang lain benar rasanya sambutan Ramadan tahun ini bila abah sudah tiada lagi untuk bersama-sama kami.
"Masih jelas terbayang keterujaan arwah abah setiap kali menjelangnya bulan puasa apabila kesemua anak-anaknya akan pulang ke kampung untuk berbuka puasa serta bersahur.
"Ketika itu dialah yang paling kecoh kerana mahu memastikan makanan kegemaran setiap seorang anak-anaknya akan terhidang di meja.
"Tetapi, sekarang semuanya sudah tiada lagi. Apa yang kami perlukan adalah untuk mengutamakan dan memberi perhatian kepada ibu kami pula," cerita Ramlah yang cukup gemarkan peria goring sebagai santapan sampingan setiap kali berbuka puasa.
Bekas juara Bintang RTM 1985 itu berkongsi perasaannya dengan pihak media ketika rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Menyambung cerita, Ramlah memberitahu apa yang lebih meninggalkan kesan di hatinya apabila bapa tirinya, Allahyarham Salleh meninggal dunia bulan lalu sehingga ibunya perlu diberi perhatian yang lebih.
"Memang mengejutkan apabila bapa tiri saya meninggal dunia. Ingatkan selepas ketiadaan arwah abah, dapatlah kami adik-beradik menumpang kasih dengannya. Tetapi, malangnya tidak lama," katanya.
Saat ditanya tentang lebaran yang dijangka akan disambut pada 10 September ini, Ramlah sendiri tidak dapat membayangkan kesyahduan yang bakal dilalui apabila memikirkan ketiadaan orang tersayang untuk sama-sama menyambutnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: