|
|
SEBELUM ini terdengar khabar angin yang mengatakan hubungan antara penyanyi bersuara lantang ini dengan tunangnya retak.
Dikhabarkan Lan atau nama sebenarnya Norazlan Yuslee, 28, tidak jadi bernikah pada hujung tahun ini seperti yang telah dicanangnya sebelum ini.
Pelbagai tanggapan yang muncul. Ada yang mengatakan dia dan tunangnya, Normala Hassan, 28, tidak sefahaman. Malah ada yang mendakwa hubungannya dengan keluarga sebelah tunangnya tidak begitu baik.
Ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Era TV di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lan yang kini berdiri di atas nama Azlan & The Typewriter (ATT) tidak menafikan yang majlis perkahwinannya pada bulan November ini dibatalkan.
"Perkahwinan kami tetap akan diteruskan cuma majlis kami terpaksa ditunda hingga awal tahun depan.
"Sekarang ini saya sibuk dengan karier saya. Ada lagi barang-barang untuk persiapan perkahwinan kami yang masih belum mencukupi.
"Tentang ada yang mengatakan kami bergaduh, saya tidak menafikan kami ada gaduh-gaduh kecil. Biasalah bila dalam tempoh menghampiri alam perkahwinan ini, pelbagai tekanan melanda.
"Saya sibuk dan jarang meluangkan masa untuknya, orang perempuan pula sensitif perkara sebegini.
"Namun jangan risau, semuanya dalam keadaan terkawal. Perkahwinan kami tetap akan diteruskan," ujarnya yang mengikat tali pertunangan pada Julai tahun lalu.
Mengulas kononnya hubungannya dengan keluarga sebelah tunangnya bermasalah, Lan menafikan sekeras-kerasnya.
Menurut Lan, hubungan dia dan keluarga bakal mentua memang baik serta tiada masalah dan mereka amat 'sporting'.
Salah satu sebab mereka sepakat untuk menunda majlis mereka kerana Lan dan tunangnya mahu merancang majlis itu betul-betul bagi mengelak pembaziran.
Bagi Lan, daripada mereka menghabiskan wang yang banyak untuk majlis mereka itu, lebih baik dia menggunakan duit tersebut untuk membeli rumah.
"Banyak hati yang perlu dijaga dalam menguruskan persiapan majlis ini terutama orang tua kedua-dua belah pihak. Jadi saya tidak mahu ia diadakan secara terburu-buru.
"Apa yang saya dapat pelajari ialah persiapan perkahwinan bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan paling kurang setahun untuk memastikan majlisnya tidak kelam-kabut.
"Saya bersyukur kerana kami bersepakat untuk menunda majlis ini kerana mahu majlis kami nanti berjalan dengan lancar," ujar pelantun lagu Kelibat Si Penyair ini.
Cerita Lan lagi, dia bersyukur dikurniakan seorang wanita yang amat sederhana serta tidak banyak kerenah kerana dia lebih menyukai sesuatu yang sederhana.
Bakal mengadakan majlis pernikahan dan persandingan di Johor, ujar Lan, mereka hanya akan mengadakan satu majlis sahaja di sana.
Harapan Lan, agar perkahwinan itu akan berkekalan dan bahagia selamanya sementelah dia telah mengenali Normala sejak dua tahun lalu, sebagai seorang wanita yang sederhana.
"Tentang anak, saya serahkan kepada takdir tetapi dalam masa yang sama kami tidak merancang untuk memiliki anak secepat mungkin.
"Ini kerana tunang saya sedang sibuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan sumber manusia di sebuah universiti tempatan.
"Saya tidak mahu pelajaran dan kerjayanya terjejas," kata Lan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: