|
|
JULAI 2006, landskap negara ini pernah mencatatkan tragedi ledakan konflik yang mengorbankan ribuan nyawa dalam pertempuran antara Israel dan pejuang Hezbollah.
Seperti apa yang dilaporkan, konflik bermula atas rasa amarah Hezbollah lantaran Israel yang dikatakan gagal memenuhi perjanjian untuk membebaskan empat rakyat Lebanon yang ditahan mereka.
Sebagai 'umpanan', dalam satu serangan roket yang dilancarkan Hezbollah ke atas sebuah bandar sempadan di utara Israel, mereka berjaya menahan dua anggota tentera bagi menekan negara Yahudi itu agar mengotakan janji.
Namun, di pihak Israel, ia dilihat sebagai ancaman yang kemudiannya bertindak membuat serangan balas hingga ke tanah Beirut dan memusnahkan banyak harta awam termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Rafiq Hariri.
Israel mendakwa lapangan terbang tersebut digunakan Hezbollah untuk membekal dan membawa masuk senjata.
Tidak henti di situ sahaja, Hezbollah turut melancarkan lebih banyak roket ke kawasan utara Israel dan menggugat Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan taktik serangan gerila.
Lebih sebulan berlalu, masyarakat antarabangsa mula memandang serius terhadap apa yang berlaku dan satu gencatan senjata perlu dilaksanakan bagi mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.
Atas dasar itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula memainkan peranannya dan gencatan senjata dikuatkuasa pada 14 Ogos 2006.
Sebelumnya, pada 11 Ogos, Majlis Keselamatan PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 dalam usaha menghentikan konflik tersebut serta menempatkan Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).
Dan, Malaysia tidak terkecuali apabila dipelawa oleh PBB untuk menyertai misi Unifil bagi menguatkuasakan Resolusi 1701.
Pelawaan itu dipersetujui kerajaan untuk menghantar kontinjen dengan komposisi kekuatan seramai 360 anggota dan peralatan logistik sejak 2007.
Menyingkap sejarah pembabitan Malaysia dalam misi Unifil, Kontinjen Malaysia Sektor Timur (Malcon East) merupakan kontinjen yang sedang beroperasi di Sektor Timur Lebanon iaitu di Kaoukaba dengan kekuatan seramai 300 anggota. Ia merupakan kontinjen pertama yang digerakkan ke Lebanon pada 29 Oktober 2007.
Pada 2009 pula, Unifil telah mencadangkan agar Malaysia menaiktaraf status Malcon West kepada Batalion Malaysia (Malbatt) dengan kekuatan minimum seramai 420 orang. Tujuan menaiktaraf status pemerintahan adalah bagi menentukan sumbangan Malaysia adalah setaraf dengan negara-negara lain di Lebanon.
Sehubungan itu, kontinjen Malaysia ini tidak lagi diletakkan di bawah naungan Batalion Perancis di Lebanon dan dalam erti kata sendiri, kontinjen Malaysia mempunyai sektor sendiri.
Kini, sempadan antara Lebanon dan Israel kembali tenang. Bagaimanapun, meski nampak tenang pada dasarnya, selepas lebih tiga tahun, situasi di sempadan kedua-dua negara itu sebenarnya tegang dan konflik yang meledak sebelum ini mampu berulang walaupun hanya membabitkan perkara kecil.
Perkara itu diakui Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman yang mengadakan lawatan ke sempadan Lebanon bermula 6 September lalu.
Menurut beliau, seperti apa yang diperkatakan oleh Unifil, kawasan di selatan Lebanon masih memerlukan kehadiran Unifil antara lima ke 10 tahun lagi bagi memastikan keadaan aman sepenuhnya.
''Biar nampak tenang, keadaan di sini (selatan Lebanon) sebenarnya cukup tegang.
''Kini, terdapat lebih 12,000 anggota tentera yang ditempatkan di selatan Lebanon dari 31 buah negara,'' katanya.
Beliau berada di selatan Lebanon dalam rangka lawatan lima harinya untuk meninjau perjalanan ATM yang berkhidmat di Malcon East 5 dan Malbatt 2.
Selain mengadakan pertemuan bersama anggota ATM dan Komander Malcon East 5, Leftenan Kolonel Subari Tomo di Kaoukaba serta Komander Malbatt 2, Kolonel Mohd. Nizam Jaafar di Tibnin, beliau turut melawat pemimpin tertinggi Unifil yang lain.
Dalam lawatan itu, beliau juga mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Malaysia ke Lebanon, K. Ilango dan Panglima Angkatan Tentera Lebanon, Jeneral Jean Kahwaji.
Jamil berkata, keadaan keselamatan di sempadan Lebanon-Israel adalah tidak dapat dijangka dan amat rapuh seperti yang berlaku pada 3 Ogos lalu.
''Dalam kejadian itu, berlakunya pergeseran dan tembak-menembak antara Angkatan Tentera Lebanon (LFA) dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Kaffar-Killa.
''Justeru saya menasihatkan semua peringkat pegawai dan anggota Malbatt dan Malcon East supaya memberi tumpuan dan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.
''Sebagai ingatan, tidak ada sebarang kompromi dalam perkara-perkara yang melibatkan kelalaian tanpa mengira peringkat. Sedarlah bahawa kelalaian adalah musuh utama kita,'' tegasnya memberi amaran kepada anggota Malbatt dan Malcon East yang kini berkhidmat di selatan negara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: