Thursday, September 23, 2010

Psikobudaya halangan rawatan


Terdapat rawatan berkesan bagi pesakit skizofrenia. - Gambar hiasan


KAMI (para doktor psikiatri) bukan menidakkan rawatan tradisional, keagamaan dan sebagainya, namun rawatan dari segi perubatan perlulah didahulukan agar ia boleh memaksimumkan kesembuhan pesakit," ujar Presiden ASEAN Federation of Psychiatry, Profesor Dr. Mohammad Hussain Habil.

Seperti penyakit kencing manis, skizofrenia juga adalah satu penyakit di mana pesakit perlu mengambil ubat untuk satu tempoh yang panjang demi mengawal gejala penyakit mereka.

Namun mengapa penghidap skizofrenia sukar menerima hakikat yang mereka perlu menerima rawatan berterusan? Adakah kerana skizofrenia tergolong dalam kategori sakit mental yang mengundang stigma negatif di kalangan masyarakat?

Malah jika pesakit mula menunjukkan simptom awal gangguan seperti sukar tidur malam, meracau mereka akan dianggap diganggu oleh makhluk halus, jin, syaitan dan sebagainya.

"Bagi kami, apa yang paling penting ialah pesakit mendapat rawatan yang bersesuaian. Tentang sama ada kami para doktor percaya kewujudan jin syaitan serta keberkesanan air penawar dan sebagainya akan dibincangkan bersama pesakit setelah mereka mendapat rawatan yang sepatutnya.

"Sebab itu kita tengok banyak kes-kes bunuh terjadi di kampung. Di bandar ramai juga yang merujuk kepada rawatan tradisional tapi mereka juga mencari perubatan moden sebab itu kami mahu semua penduduk di negara ini terutama di luar bandar dapatkan ilmu secukupnya tentang penyakit dan rawatannya.

"Kita ingin memberitahu pesakit dan keluarga pesakit terutamanya di kalangan orang Melayu bahawa di Malaysia sudah terdapat rawatan yang berkesan sama taraf dengan ubat-ubatan yang terdapat di negara-negara maju.

"Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk tujuan ini. Kini ubat dan rawatan untuk skizofrenia bukan sahaja terdapat di hospital-hospital di bandar, malah di pusat kesihatan daerah juga ada menyediakan perkhidmatan ini.

"Dengan hanya mengeluarkan RM1- RM2 pesakit boleh mendapatkan rawatan jadi mengapa tidak merebut peluang ini," tegasnya.

Amat menyedihkan bila melihat kes pembunuhan yang berlaku di negara ini kebelakangan ini melibatkan orang Melayu.

"Ahli keluarga perlu memainkan peranan penting dalam menangani permasalahan ini. Apabila ada simptom seperti tingkah laku agresif, mula menyendiri, tidak dapat menumpukan kepada pelajaran dan mula tidak mengambil kisah tentang kebersihan diri serta timbul keadaan yang ekstrem seperti mula ketawa sendiri cepat-cepatlah bawa pesakit ke hospital untuk rawatan," ujarnya.

Menurut Dr. Mohammad Hussain, kira-kira satu peratus daripada penduduk dunia mengalami skizofrenia dan ia biasanya menyerang pesakit ketika usia awal remaja iaitu sekitar 16 tahun ke atas.

"Kebanyakan pesakit terutama orang Melayu sering lewat mendapat rawatan. Skizofrenia bermula dengan gejala ganjil seperti berhalusinasi, dengar suara ghaib, paranoid dan bukan setakat buruk sangka pada orang malah ia melibatkan perlakuan luar biasa," katanya.

Dr. Mohammad Hussain kesal kerana orang Melayu mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum mendapatkan rawatan.

"Jangan biar simptom berlarutan hingga lebih lima bulan, ada saja tanda terus bawa. Seperkara lagi ada keluarga pesakit yang beranggapan bahawa ubat yang digunakan untuk merawat skizofrenia adalah dari jenis ubat tidur dan ubat penenang.

"Tanggapan itu salah kerana ubat tersebut sebenarnya merawat kimia otak yang terdiri dari dopamin dan serotonin pada pesakit yang terjejas," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: