Friday, September 3, 2010

Kuih, duit raya dari RTM


NORHYATI Ismail (lapan dari kanan) bersama-sama ketua-ketua jabatan dan kakitangan RTM pada majlis pelancaran Ole-Ole Raya 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) sudah lebih enam dekad menyalurkan maklumat serta hiburan kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini melalui saluran TV1, TV2 dan juga 32 stesen radio di bawah kendaliannya.

Bukan setakat menyediakan perkhidmatan percuma, malah kakitangan stesen penyiaran milik kerajaan itu juga sanggup bergabung tenaga menyediakan kuih muih dan duit raya buat golongan yang kurang bernasib baik.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM, Datuk Norhyati Ismail berkata, sumbangan itu turut dinikmati para penonton dan pendengarnya melalui program Ole-Ole Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya, program itu juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat selain mampu mengeratkan lagi hubungan sesama kakitangan pelbagai jabatan di bawah badan penyiaran tersebut.

“Ini adalah kali pertama RTM menyatukan kesemua 17 unit bagi menjayakan program ini. Ia sebagai salah satu tanggungjawab sosial RTM selain bagi membalas sokongan para pendengar dan penonton terhadap kami selama ini.

“Melalui program ini, kami akan mengedarkan kuih raya, bubur lambuk dan duit raya yang disediakan oleh para kakitangan kami di beberapa lokasi yang terpilih,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran Ole-Ole Raya 2010 baru-baru ini.

Menerusi program itu, para kakitangan RTM bergotong - royong menyediakan hamper kuih raya dan memasak bubur lambuk bagi diagih-agihkan kepada orang ramai di beberapa lokasi di seluruh negara.

Antaranya pada 28 Ogos lalu sumbangan kuih raya itu diedarkan kepada orang ramai di Bazar Raya, Jalan Masjid India diikuti 1 September di Hentian Bas Jalan Duta dan Hentian Bas, Bukit Jalil, Kuala Lumpur mulai pukul 11 pagi.

Pada 2 September RTM akan memberi sumbangan hamper kuih dan duit raya kepada 30 pesakit di Wad Pedriatik Kajang dan pada 4 September pula di Rumah Orang-Orang Tua Lovely Home, Kelana Jaya, Selangor.

Jelas Norhyati, program itu akan diakhiri pada 6 September ini melibatkan Hentian R&R Seremban (arah selatan), Hentian R&R Jejantas Sungai Buloh (arah utara) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) mulai pukul 11 pagi.

“Kami telah menyediakan 8,000 pek mini kuih raya dan 250 hamper kuih raya dalam program ini. Kami juga menyediakan duit raya RM100 untuk penerima dewasa dan RM50 untuk kanak-kanak dalam setiap tempat yang kami kunjungi.

“Dengan hampir 3,000 kakitangan yang ada di Angkasapuri ini kami tiada masalah untuk bergotong - royong menyediakan segala sumbangan tersebut. Insya-Allah program ini akan diteruskan pada tahun depan,” ujarnya.

Tambah Norhyati, sambutan dan sumbangan kuih dan hamper raya itu tidak terhad kepada masyarakat beragama Islam semata-mata tetapi ia turut dinikmati oleh kaum lain yang menjadi audiens RTM selama ini.

Sehubungan itu, RTM katanya, telah menyediakan empat jenis kuih utama iaitu bahulu, maruku, goyang dan dodol yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dalam program itu bagi melambangan semangat 1Malaysia.

“Kalau boleh kita mahu semua kaum merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Selain kakitangan RTM, ahli-ahli persatuan veteran RTM juga Persatuan Penyiar turut serta. Ia dapat mengeratkan dengan kakitangan baru,” tuturnya.

Sementara itu, menurut Pengarah Projek Ole-Ole Raya 2010, Md. Shahri Saripan, selain berbakti kepada masyarakat dan memeriahkan lagi suasana raya, program seperti itu juga akan mendekatkan lagi dengan para penonton RTM.

Menurutnya, dalam setiap tempat awam yang dikunjungi RTM juga akan mengedarkan risalah-risalah mengandungi jadual kandungan rancangan-rancangan yang akan disiarkan di radio dan televisyen pada musim perayaan ini.

“Ini juga salah satu cara kami mempromosikan rancangan-rancangan di RTM. Melalui cara itu kami dapat turun padang dan mempromosikan secara terus kepada masyarakat. Ia turut dibantu oleh para selebriti kami,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: