Friday, September 3, 2010

FDAM-Hollywood anjur bengkel pengarahan


JAWATANKUASA FDAM yang diterajui Mat London (depan berbaju Melayu merah hati) pada majlis silaturrahim bersama media di kuala lumpur baru-baru ini.


KEBANGKITAN industri filem di negara ini sejak 10 tahun lalu sememangnya menggembirakan banyak pihak terutamanya kepada penggiat-penggiat seni tanah air.

Penayangan lebih daripada 20 buah filem cereka setahun juga memberi banyak pilihan kepada penonton untuk melaburkan wang mereka di samping mengharapkan pulangan yang sebaiknya.

Sekaligus minat penonton terhadap filem Melayu khususnya dapat dipertingkatkan dengan pelbagai genre filem yang ditawarkan pada setiap tahun.

Walaupun kemudahan infrastruktur di Malaysia tidaklah secanggih negara barat, sokongan kewangan daripada pelbagai pihak terutamanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dilihat mampu menutup kekurangan itu.

Hal ini dilihat satu perkembangan yang positif dalam industri kreatif ini.

Justeru, bagi memantapkan lagi produksi filem tanah air daripada aspek pengisian dan idea, Persatuan Pengarah Filem Malaysia, (FDAM) menyusun rencana mereka sendiri.

Pada majlis berbuka puasa anjuran FDAM di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London memberitahu, FDAM akan menganjurkan bengkel tidak lama lagi.

Menurutnya, bengkel yang bakal diadakan nanti akan dikendali pengarah terkenal dari Hollywood.

“Bukan setakat itu sahaja, beliau merupakan seorang pengarah yang pernah memenangi Oscar.

“Bagaimana pun, nama pengarah tersebut terpaksa dirahsiakan terlebih dahulu.

“Kami akan umumkan pada hujung bulan ini atau bulan hadapan,” jelasnya merujuk kepada acara yang akan berlangsung pada November nanti.

Tambah Mat London, kedatangan pengarah tersohor itu nanti akan dipenuhkan dengan aktiviti yang semestinya memberi input terhadap kemajuan industri kreatif tempatan.

“Sekiranya terdapat banyak permintaan, kemungkinan bengkel tersebut akan dibahagikan kepada dua sesi.

“Penyertaan akan diutamakan kepada mereka yang menjadi ahli FDAM.

“Pengarah muda yang bukan ahli juga mungkin berpeluang untuk menyertainya bergantung kepada kekosongan,” ujar Mat London.

Pengumuman mengenai yuran dan bilangan penyertaan pada bengkel tersebut juga bakal diberitahu kelak memandangkan FDAM masih lagi membuat kerja-kerja akhir untuk acara itu.

“Selaku sebuah organisasi yang menjaga kebajikan pengarah drama, filem dan iklan, FDAM akan cuba berikan peluang sama rata kepada setiap ahli.

“Pengarah muda termasuk mereka yang aktif secara indie juga dialu-alukan untuk mengambil bahagian.

“FDAM akan usahakan yang terbaik demi kebaikan semua pihak kerana sesebuah filem mampu menjadi trend setter terhadap kehidupan realiti,” kata Mat London.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: