![]() |
| WARGA Era TV dan Era FM memberikan sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim Pusat Jagaan Nuri, Setapak dan remaja kurang upaya dari Program Intergrasi Pendidikan Khas SMK Sekyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. |
SETELAH dua tahun bersiaran di Astro Ria, kini Era TV yang memberikan maklumat tentang dunia hiburan akhirnya mengundurkan diri.
Program Era TV yang diacarakan oleh pengacara cantik, Juliana Evans itu dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada lebih banyak program hiburan lain.
Episod akhir Era TV bakal disiarkan di Astro Ria hari ini (2 September) pada pukul 11 malam dan siaran ulangan pada 5 September pukul 11.30 pagi.
Menurut Penerbit Era TV, Nor Kamala Sari Kamarozaman, program Era TV bagi musim seterusnya masih dalam perbincangan sama ada diteruskan ataupun tidak.
“Buat sementara waktu ini, Era TV memang dihentikan untuk memberi laluan kepada program-program lain.
“Kami turut mengambil masa ini untuk memikirkan satu format baru dan berbeza dari sekarang supaya Era TV lebih segar dan menarik.
“Sepanjang dua musim kami bersiaran, Era TV sudah mempunyai pengikutnya sendiri dan semakin bertambah serta dikenali," ujarnya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Era TV di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengimbas kembali mengenai program ini, musim pertamanya dihoskan oleh penyampai-penyampai Era FM dan kemudian pada musim kedua Juliana mengambil alih tempat itu.
Kehadirannya juga memberikan nafas baru kepada program itu serta lebih banyak lagi isu dan cerita dunia hiburan dipaparkan dengan lebih mendalam.
Bersempena dengan sambutan Berbuka Puasa Era TV dan rakaman episod akhir Era TV baru-baru ini, mereka turut meraikan anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).
Bertemakan Ramadan Era TV 1Malaysia, majlis berbuka puasa itu amat bermakna buat krew Era TV kerana dapat meluangkan masa bersama golongan yang kurang bernasib baik.
Anak-anak yatim Pusat Jagaan Nuri, Setapak dan remaja kurang upaya dari Program Intergrasi Pendidikan Khas SMK Sekyen 5, Wangsa Maju dihiburkan dengan persembahan daripada Azlan & The Typewriter, Ana Raffali dan Ezad Lazim.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran dua bintang yang semakin menyinar, Hafiz dan Mizz Nina yang memberi layanan istimewa kepada tetamu istimewa yang hadir itu.
Majlis yang diacarakan oleh Juliana Evans, turut dihadiri oleh barisan penyampai Era FM iaitu Aznil Nawawi, Ray, Haniff, Adifashla dan Reza.
Pada majlis itu juga, buat pertama kalinya penyampai Era FM mendendangkan kepada umum lagu Aidilfitri Yang Mulia, lagu Hari Raya khas yang dirakam mereka bersama-sama Adira dan Daus AF8.
Memanfaatkan kesempatan pada acara ini, Presiden Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim turut menyerahkan sumbangan daripada anggaran jualan album Sawancara Di Riuh Pagi Era - Din Beramboi Dalam Kenangan kepada balu Allahyarham Din Beramboi, Suhaini Che' Man.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: