Wednesday, September 22, 2010

Kieran,Yang bahagia



Kehadiran Muhammad Iman ternyata memeriahkan lagi rumah tangga penyampai Hot FM, Mas Kieran Jakiran atau Kieran, 35, bersama isteri tercinta, Yang Azliyang Mohd Yunus, 28.

Bayi lelaki seberat 3.15kg itu dilahirkan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam pada Sabtu lalu.

Kieran yang ditemui meluahkan rasa gembira kerana cahaya mata keduanya itu lahir di saat umat Islam masih bergembira menyambut Syawal.

“Saya dan isteri sempat beraya seminggu dan sempat berkunjung ke rumah saudara-mara. Sebelum raya lagi, persiapan banyak tertumpu pada Iman yang sememangnya dijangka lahir pada bulan ini.

“Sebenarnya, tarikh lahir Iman adalah minggu hadapan, namun doktor minta dipercepatkan kerana masalah kesihatan Yang. Lagipun kami tak mahu Yang rasa sakit nak bersalin dulu, baru bergegas nak datang hospital.

“Apa pun, saya bersyukur, anak dan isteri saya selamat meskipun terpaksa menjalani pembedahan,” kata Kieran yang ditemui di kediaman ibunya, di Klang, Selangor.

Kieran berkata, dia juga tidak kisah dikurniakan lagi cahaya mata lelaki, setelah Muhammad Adam, yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Namun, dalam kegembiraannya menyambut orang baru, perasaan Kieran dan isterinya bercampur baur kerana di saat-saat menanti kelahiran Iman, Adam pula mengalami masalah kesihatan.

“Malam sebelum Yang bersalin, Adam tiba-tiba kena alahan. Tak tahu apa puncanya, satu badannya naik merah-merah dan terpaksa dimasukkan ke wad.

“Inilah cabaran yang paling besar untuk saya. Sedih bila tengok isteri dan anak duduk dalam satu wad,” kata Kieran yang mengambil cuti selama dua minggu bagi menemani isteri dan anak-anaknya.



Azliyang puji Kieran

Bagi Azliyang, dia bersyukur kerana di saat-saat getir ini ada suami yang setia menemaninya.

Yang berkata, Kieran bukan sahaja suami yang bertanggungjawab tetapi juga ringan tulang.

“Dia pandai menjaga dan menguruskan anak. Tak ada istilah ‘malas’ kerana dia memang suka menolong dan saya rasa gembira kerana dikurniakan suami sepertinya,” katanya yang menjalani tempoh berpantang di rumah mentuanya selama sebulan.

Yang juga memberitahu, dia sudah lama berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta demi memberi perhatian terhadap dua anaknya.

“Saya susah nak percaya dengan pembantu atau pengasuh yang sedia ada. Mentua saya pun dah tua dan tak larat nak jaga budak. Lagipun saya selesa dan seronok jaga anak sendiri,” katanya.



Ibu Kieran gembira cucu bertambah

Kegembiraan jelas terpancar di wajah ibu Kieran, Hajah Kamariah, 55, dengan kehadiran Muhammad Iman yang pastinya akan memeriahkan lagi keluarganya yang kecil.

Jika sebelum ini dia hanya memiliki satu-satunya anak lelaki, kini dia mampu tersenyum bangga kerana dalam tempoh dua tahun dia dikurniakan dua cucu lelaki yang sihat dan comel.

“Seronok dapat cucu lagi. Tak kisahlah walaupun lelaki lagi, asalkan dia sihat. Tapi kalau boleh, mak cik nak juga cucu perempuan,” katanya.

Kamariah juga meluahkan rasa gembira kerana dapat menjaga menantunya sepanjang tempoh berpantang.

Menurutnya, walaupun Azliyang bersalin secara pembedahan, namun rawatan secara tradisional diutamakan.

“Mak cik akan jaga makan minum dia. Buat bubur dan ikan haruan. Urut badan pun ada, tapi bukan di bahagian perut.

“Tak terkecuali mandi air rebusan serai wangi selama 30 hari dan penggunaan pilis dan ‘param’,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: