Wednesday, September 22, 2010

Badrul Muhayat Kini Sah Bercerai

Badrul Muhayat enggan ditemuramah selepas prosiding berakhir.

KAJANG: Pelakon kontroversi Badrul Muhayat Ahmad Jalani, pada pagi Rabu, sah melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya, Julia Daud, di Mahkamah Syariah di sini.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah membenarkan permohonan cerai yang difailkan oleh Julia, 29, setelah mendapat persetujuan daripada Badrul, 42.

Abdul Halim membuat keputusan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas mendengar pengakuan Julia bahawa dia tidak menyayangi Badrul, lagi yang dikatakan sering memukulnya.

Selain itu, Julia memberitahu mahkamah bahawa nafkah yang diterima daripada suaminya tidak mampu menyara dirinya dan anak-anaknya.

"Saya lihat perkahwinan ini tidak wajar diteruskan. Ini kerana simbolik sesuatu perkahwinan adalah kasih sayang. Jadi dengan ini mahkamah meluluskan permohonan cerai dengan talak satu.

"Plaintif perlu beredah selama tiga kali suci," kata Abdul Halim.

Badrul yang berbaju batik berwarna biru gelap dan berbintik-bintik hadir bersama seorang kenalannya manakala Julia berbaju kurung dan bertudung serba putih. Masing-masing tidak diwakili peguam.

Julia dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu, dia membuat permohonan cerai itu pada 14 Julai lalu. Dia turut memberitahu dia dan suaminya tidak lagi tinggal bersama serta menjalin hubungan kelamin sejak itu.

Julia Daud akan mencari kerja selepas ini untuk mencari nafkah.

Ketika ditanya sama ada terdapat persetujuan bersama, mutaah, dan nafkah antara mereka berdua selepas perceraian termaktub, Julia berkata, mereka belum membuat apa-apa persetujuan mengenai perkara tersebut.

Sehubungan itu, Abdul Halim menasihatkan mereka berbincang terlebih dahulu selepas ini dan sekiranya tidak ada penyelesaian, mereka boleh merujuk perkara tersebut ke mahkamah.

Sementara itu, Badrul pula meminta mahkamah membenarkannya berjumpa dengan anak-anaknya.

Hakim berkata, mahkamah membenarkannya kerana dia tetap bapa mereka dunia dan akhirat.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Badrul enggan ditemuramah sambil keluar dari mahkamah dengan cepat.

"Tak boleh. Saya tidak berapa sihat." katanya ringkas.

Sementara itu, Julia yang turut ditemui selepas prosiding berakhir melahirkan rasa lega berikutan permohonannya telah selesai.

Kata Julia, perasaannya kini berbaur sedih dan gembira kerana masalah itulah yang sangat membebankannya selama ini.

"Siapa tak sedih apabila rumah tangga kita tidak berkekalan tetapi ia bukan kehendak kita," katanya yang akan mencari kerja selepas ini untuk menyara anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: