Wednesday, September 22, 2010

Mayat berulat, kembung dalam longkang

SEREMBAN – Satu mayat yang sudah berulat dan kembung ditemui bersama sebuah motosikal di dalam longkang berhampiran Jalan Seremban-Tampin, Kampung Baru Rahang, di sini.

Dipercayai, mangsa adalah seorang pekerja kilang yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, M Krishnan, 40, dari Bandar Seremban Selatan, ditemui kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, mayat ditemui dalam keadaan terlentang dan bertopi keledar, sementara sebuah motosikal berada tidak jauh dari situ, dipercayai miliknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang yang mengesahkan kejadian itu berkata, penemuan mayat M Krishnan mempunyai kaitan dengan penemuan mayat seorang wanita di lokasi berhampiran, kira-kira kurang satu kilometer dari tempat kejadian.

“Penemuan mayat di Taman Seremban semalam (kelmarin) dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat di sini,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa terbabit dalam kemalangan menyebabkan terbabas ke dalam longkang dan tiada siapa yang melihat kejadian itu.

“Selepas itu, mangsa perempuan yang dikenali sebagai S Radha, 50, dihanyutkan arus deras ke lokasi lain,” katanya.

Mayat M Krishnan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat.

Sebelum itu, sepasukan tujuh anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang terpaksa menggunakan tangga dan pengusung untuk mengeluarkan mayat yang tersangkut dalam longkang berkenaan.

Sementara itu, dalam kejadian kelmarin, pekerja pembinaan di jajaran Sungai Rahang berdekatan Taman Seremban gempar apabila menjumpai mayat hanyut dan berulat.

Dipercayai mayat wanita yang tidak mempunyai pengenalan diri itu hanyut lebih daripada tempoh 48 jam.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Ungku Abd Jalil Ungku Ismail berkata, mayat wanita itu dipercayai hanyut dibawa arus sungai dan tersangkut di dahan pokok serta sampah-sarap di situ.

“Kami cuma dapat kenal pasti mayat mangsa adalah wanita. Kami menerima panggilan sekitar jam 4 petang," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Md Yusoff Awang berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya wanita terbabit mati beberapa hari lalu berdasarkan kepada keadaan mayat yang sudah kembung.

“Pada tangan wanita yang dipercayai berumur lingkungan 35 tahun ke atas itu terdapat satu benang berwarna kuning,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: