TERSIPU-sipu wajah Ziana Zain, 42, apabila suaminya Armin Zaharin , 44, menaiki pentas bersama jambangan bunga ros berwarna biru. Wajahnya bertambah malu apabila sebuah kucupan mesra singgah di pipi pada majlis pelantikannya sebagai duta produk penjagaan diri Antabax, baru-baru ini.Kehadiran Armin pada majlis itu menjadi perhatian media. Ini kerana Ziana pernah beberapa kali memberitahu sebelum ini tidak mahu membabitkan pasangannya dengan sebarang aktiviti seninya. Memang peluang seperti itu tidak datang selalu, menyebabkan saat keemasan itu digunakan sebaiknya oleh media untuk merakamkan sebanyak mungkin gambar pasangan ini.Sejak mendirikan rumah tangga pada 1998, sukar sekali untuk melihat Ziana muncul berdua bersama-sama suami. Kebanyakan gambar yang berada dalam arkib adalah daripada majlis perkahwinan mereka 12 tahun lalu. Tentunya selepas lebih sedekad, peminat Ziana mahu melihat bagaimanakah rupa terbaru penyanyi itu.
Sekian lama tidak terdedah kepada publisiti, Armin kelihatan agak kekok apabila diminta bergambar bersama isteri. Namun dia tetap memberikan kerjasama baik dengan memberikan ‘pose’ menarik untuk tatapan umum.
Armin turut hadir pada majlis pelantikan isterinya sebagai duta produk penjagaan diri itu kerana dia turut terbabit untuk iklan komersial produk berkenaan di samping dua puteranya Muhammad Aiman, 10, dan Muhammad Ammar, 7.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk penyanyi lagu Madah Berhelah ini memujuk suaminya terbabit dalam iklan komersial produk itu.
Kata Ziana yang anggun dengan persalinan berwarna biru firus dipadankan bersama celana rona putih, kira-kira sebulan memujuk barulah usahanya berjaya.
“Saya memang sudah jangka ramai terkejut apabila suami turut serta. Bukan mudah nak pujuk suami untuk turut serta dengan projek ini. Saya terpaksa meyakinkan dia dan minta dia melakukannya demi anak-anak. Setelah hampir sebulan memujuk, barulah suami bersetuju.
“Anak sulung saya Aiman juga pada mulanya tak mahu buat komersial ini, tetapi saya memaksanya kerana penganjur mahu memaparkan kami sekeluarga. Sementara Ammar pula, dia suka dengan kerja yang ada ganjaran.
“Memang sejak dulu lagi saya mengajar dia, kalau mahukan sesuatu, dia perlu buat kerja dulu. Kemudian barulah dia akan dapat apa yang diingini, apabila melatihnya begitu, Ammar menjadi seorang yang pandai menghargai barang,” katanya yang sehingga kini sudah bergelar duta untuk tujuh jenis produk.
Selesa, bahagia dan saling percaya
SEJAK mendirikan rumah tangga dan memiliki empat orang cahaya mata termasuk dua kembar berusia setahun iaitu Mohammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, Ziana berasakan rezekinya bertambah murah.
Katanya rezekinya lebih murah selepas bergelar isteri dan ibu berbanding ketika masih solo dulu. Dia juga dapat merasakan rezekinya bertambah sejak kehadiran si kecil yang kini semakin banyak keletahnya.
Kata Ziana juga, hidupnya kini lengkap. Apa yang dimahukan selama ini seperti rumah tangga yang bahagia dan bayi perempuan semuanya sudah dimakbulkan Nya. Tambahnya lagi, permintaannya selama ini seperti didengari dan kini dia selesa dengan apa yang dimiliki.
“Tiada apa lagi yang saya mahukan kerana apa yang saya inginkan semuanya sudah mencukupi. Walaupun tidaklah kaya raya atau memiliki harta berjuta, tetapi saya selesa dengan kedudukan sekarang.
“Kehidupan saya kini sudah cukup lengkap dengan rumah tangga yang bahagia serta kehadiran empat cahaya mata yang banyak keletah. Merekalah yang menjadi pelengkap saya, jika tiada salah seorang dari anak-anak terasa bagaikan ada kekurangan,” katanya.
Ditanya pula apakah rahsia kebahagiaan rumah tangga sehingga mampu bertahan selama 12 tahun memandangkan tidak ramai selebriti yang mampu mempertahankan ikatan perkahwinan mereka seperti Ziana. Penyanyi itu tiada formula khusus melainkan dua perkara, kepercayaan dan komunikasi.
“Amalan saya dan suami jika ada situasi atau topik yang kami kurang senang, kami akan duduk berbincang mengenai perkara itu. Selain itu, dalam kehidupan rumah tangga perlulah ada rasa percaya antara pasangan. Jika rasa percaya tiada, rumah tangga akan diselubungi rasa curiga.
“Lebih-lebih lagi macam saya dan suami, kepercayaan memang perlu kerana suami kerja di atas awan, sementara saya pula di bawah. Kalau kami tidak saling percaya mempercayai, susahlah rumah tangga kami jawabnya,” kata Ziana.
Kesibukan suaminya yang bertugas di awan biru ada kalanya menyebabkan pasangan ini tidak berjumpa sehingga kira-kira dua minggu lamanya. Namun kemudahan teknologi mendekatkan Ziana dan suaminya. Biasanya SMS dan MMS menjadi penghubung mereka, anak-anak juga sudah memahami kesibukan ibu bapa mereka.
Memang kadang kala timbul rasa bersalah apabila tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak tetapi Ziana sudah menjelaskan kepada mereka, bahawa dia dan suami keluar mencari duit demi masa depan mereka.
Justeru, tatkala ada masa terluang, dia dan suami akan menghabiskan masa sebaik-baiknya bersama anak-anak. Jika tidak pada waktu makan, pasangan itu gemar membawa anak-anak mereka bermain basikal di padang. Sementara itu, setahun sekali atau dua kali, Ziana dan suami akan membawa anak-anak mereka bercuti di dalam mahupun luar negara apabila berkesempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: