|
|
MULA menjengah pasaran Malaysia sekitar pertengahan tahun 2007, kehadiran model-model telefon bimbit pintar BlackBerry waktu itu kurang mendapat perhatian pengguna produk telekomunikasi negara ini.
Jika ada pun, hanya golongan profesional dan peniaga yang mengaplikasikan operasi peranti selular moden itu.
Mungkin disebabkan ketika itu para pengguna masih belum bersedia untuk menerima perkhidmatan berteknologi tinggi yang ditawarkan BlackBerry selain lebih gemar memilih jenama telefon bimbit terkenal lain seperti Nokia, Sony Ericsson dan Motorola.
Di peringkat antarabangsa pula, pembangunan BlackBerry sebenarnya telah bermula sejak tahun 1999 oleh syarikat Research In Motion (RIM) yang berpangkalan di Kanada.
Tahun demi tahun, semakin banyak model BlackBerry dengan pelbagai pembaharuan aplikasi diperkenalkan.
Tahun 2002 menyaksikan BlackBerry tampil dengan keupayaan fungsi telekomunikasi lebih baik seperti sambungan Wi-Fi, pelayaran laman web, faks, Internet dan emel tolakan.
Sehingga pada awal tahun 2010, pengguna semakin menyedari potensi BlackBerry sebagai pelengkap keperluan telekomunikasi dan hiburan pengguna secara menyeluruh.
Hari ini, pelaksanaan perkhidmatan peranti mudah alih itu bukan sahaja digunakan oleh golongan profesional dan usahawan, malah operasinya turut dilaksanakan secara meluas oleh pengguna biasa terutama golongan belia.
Seakan-akan menjadi kegilaan dan ketagihan, rata-rata pengguna BlackBerry telah menjadikan peranti berkenaan sebagai teman setia dalam menjalankan aktiviti harian mereka.
Di samping itu, kegilaan terhadap peranti tersebut juga disebabkan oleh kemudahan dan aplikasi teknologi canggih yang ditawarkannya.
Secara asasnya, BlackBerry dipacu menggunakan sistem teknikal Pelayan Enterpris BlackBerry (BES) untuk membolehkan integrasi ID peranti dengan perkhidmatan emel pengguna.
Daripada segi sokongan aplikasi pula, peranti canggih berkenaan turut dilengkapi Servis Internet Blackberry (BIS).
Menerusi BIS, ia membenarkan penciptaan sehingga 10 akaun e-mel, menyokong beberapa aplikasi laman sembang seperti Google Talk, ICQ, Windows Live Messenger dan Yahoo Messenger selain Facebook, Twitter dan Myspace menggunakan platform mobiliti khas.
Tidak cukup dengan itu, pengguna BlackBerry di seluruh dunia juga berpeluang bersembang secara maya melalui perisian yang dikenali sebagai BlackBerry Messenger (BBM)
Untuk menggunakan BBM, setiap BlackBerry perlu dihubungkan menerusi platform nombor pengenalan atau PIN unik atau imbasan pada bar kod.
Bukan setakat bersembang menggunakan medium teks, BBM turut membenarkan pengguna menjalankan aplikasi menghantar gambar, fail multimedia, mesej bersuara, sembang berkumpulan, mengemaskini status dan paparan gambar profil.
Apa yang menarik, kesemua khidmat itu percuma tanpa melibatkan bayaran seperti sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sistem khidmat pesanan multimedia (MMS)
Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 20 produk BlackBerry dengan tawaran fungsi moden dan rekaan eksklusif serta menarik.
Bagi anda yang belum memilikinya, kedatangan Syawal tidak lama lagi merupakan peluang terbaik untuk mencuba peranti komunikasi luar biasa ini.
BlackBerry Bold 9700
BERMULA dengan Bold 9000 yang diperkenalkan pada tahun 2008, model tersebut terus mengalami evolusi melalui penampilan terkini Bold 9700 awal tahun ini.
Generasi kedua peranti berjenama Bold ini mengalami perkembangan yang ketara dari segi pembangunan fungsi dan spesifikasi multimedia sesuai untuk aplikasi peribadi mahu pun profesional.
Bold 9700 dibangunkan bersama papan kekunci QWERTY serta trek pad sensitif untuk kawalan operasi yang lebih intuitif dan responsif.
Dari segi simpanan data pula, model berkenaan dilengkapi memori binaan dalam 256 megabit (MB) serta menyokong kad memori microSD atau SDHC sehingga 32 gigabit (GB).
Ia turut dilengkapi dengan kamera 3.2 megapiksel bersama fungsi flash, pemfokusan auto serta rakaman video dan paparan skrin definisi tinggi 2.44 inci.
Fungsi lain yang ditawarkan adalah seperti akses Wi-Fi binaan dalam, pelayaran web, sistem penentu kedudukan global (GPS), pembesar suara berkualiti dan sambungan Bluetooth.
BlackBerry Javalin
TURUT dikenali sebagai Curve 8900, BlackBerry Javalin ini di pacu menggunakan pemproses 512 MHz dengan memori binaan dalam 256 megabit (MB).
Dari sudut multimedia, ia dilengkapi skrin HGVA, kamera 3.2 megapiksel dengan pemfokusan auto, sambungan USB dan Bluetooth serta sokongan kad memori microSD.
Tidak ketinggalan, ia turut disempurnakan bersama fungsi sistem penentu kedudukan global (GPS).
Untuk memudahkan capaian kepada sambungan Internet, peranti selular ini dilengkapi sambungan aplikasi Wi-Fi.
Walau bagaimanapun, BlackBerry Javalin ini tidak dilengkapi dengan capaian rangkaian 3G.
BlackBerry Curve 8520
SEBENARNYA terdapat beberapa model yang dikeluarkan di bawah jenama Curve tetapi Curve 8520 merupakan antara yang popular.
Ia dibangunkan dengan reka bentuk yang sesuai untuk keselesaan genggaman tangan selain mempunyai papan kekunci QWERTY mudah dan skrin paparan bergaya dengan 65,000 warna.
Antara spesifikasi yang ditampilkan pada model ini adalah seperti kamera dua megapiksel, capaian rangkaian EDGE dan memori binaan dalam 256 megabit (MB).
Berbeza daripada model-model BlackBerry yang lain, Curve 8520 mempunyai fungsi unik butang media pada bahagian atas untuk akses mudah permainan muzik dan multimedia.
Lebih menarik, kawalan operasinya boleh dijalankan dengan mudah melalui navigasi menggunakan trek pad.
Menerusinya juga, pengguna boleh memuat naik foto atau video secara terus kepada laman web sosial atau laman sembang serta boleh diintegrasi bersama perisian desktop Apple Mac.
BlackBerry Storm 2
MERUPAKAN generasi kedua bagi BlackBerry Storm, spesifikasi model tersebut telah mengalami banyak peningkatan.
Antaranya, pengenalan skrin sesentuh berteknologi moden untuk kemudahan kawalan operasi hiburan dan telekomunikasi di mana-mana sahaja.
Turut diperkenalkan, teknologi SurePress iaitu sistem skrin sesentuh elektronik yang bakal menjadikan aktiviti menaip menggunakan papan kekunci maya lebih mudah, selesa dan tepat.
Storm 2 yang disempurnakan bersama sistem operasi OS 5.0 dibangunkan dengan reka bentuk premium, lensa berkaca, plat belakang keluli tahan karat dan paparan skrin luas bersaiz 3.25 inci.
Keunikan lainnya ditampilkan pada kamera 3.2 megapiksel, memori 256 megabit (MB) binaan dalam, sokongan kad memori microSD atau SDHC sehingga 32 gigabit (GB) dan sambungan rangkaian UMTS/HSPA/EDGE/GPRS, GSM serta Wi-Fi.
Dari segi perisian pula, telefon bimbit pintar ini dilengkapi dengan integrasi Desktop Manager, Media Sync, BlackBerry Services serta sokongan Pelayan Enterpris BlackBerry (BES).
Untuk operasi multimedia, Storm 2 dilengkapi set kepala 3.5 milimeter (mm), permainan media seperti video dan muzik serta sambungan multimedia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: