Monday, August 30, 2010

Emas pengganti duit raya?


Gary Joseph menunjukkan sebahagian koleksi perhiasan emas termasuk kepingan emas yang boleh dijadikan pengganti duit raya di Kuala Lumpur, baru-baru ini .


PUTRAJAYA 29 Ogos - Tradisi pemberian duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri mungkin patut diubah kepada pemberian kepingan emas (gold bar) yang mampu memberi keuntungan pada masa akan datang.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn. Bhd. (Bahagian Jualan Persendirian), Gary Joseph berkata, pelaburan logam berkenaan amat menguntungkan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini harganya tidak pernah merosot.

"Lebih baik berikan kepingan emas berbanding wang tunai kerana ia boleh disimpan dan dijual pada bila-bila masa dengan harga yang lebih tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, amalan ini telah diamalkan di kalangan kaum Cina yang memberikan angpow dalam bentuk kepingan emas.

Menurut Gary, Habib Jewels kini menawarkan pembelian kepingan emas yang berbeza dengan apa ditawarkan oleh bank di negara ini.

Syarikat itu membenarkan pembeli membawa pulang kepingan emas terbabit dan mereka boleh menggadainya semula di mana-mana kedai emas ataupun Ar-Rahnu bagi mendapatkan wang tunai.

"Kebanyakan bank tidak benarkan pelanggan bawa pulang emas terbabit, pelanggan beli dan hanya simpan resit pembelian atau buku bank, dan penjualan emas berkenaan hanya terhad kepada itu sahaja," katanya.

Tambah Gary, Habib Jewels menawarkan kepingan emas dengan berat minimum lima gram sehingga sekilogram.

Ia ditawar mengikut harga pasaran emas semasa dan ketika ini Habib Jewels menjual kepingan emas jenama Pamp Suisse pada harga sekitar RM145 segram.

Menurut Gary, emas adalah sumber pelaburan yang tidak pernah menghampakan pelaburnya untuk meraih keuntungan.

Katanya, walaupun harga emas ketika ini mengalami pembetulan namun ia masih stabil dan dijangka terus meningkat kira-kira lima peratus menjelang November ini.

"Ketika krisis ekonomi yang lalu, harga emas melonjak sehingga 30 peratus tetapi sekarang ia kian stabil dan mampu memberi pulangan pelaburan sekitar lima peratus hingga lapan peratus.

"Ini adalah masa terbaik untuk membeli emas sama ada emas fizikal ataupun barang kemas kerana harganya kompetitif namun mampu memberi pulangan pelaburan pada masa akan datang," ujarnya.

Apa yang menarik mengenai pelaburan emas, harganya akan naik mendadak didorong oleh beberapa faktor luaran yang negatif seperti ketidaktentuan ekonomi, kelembapan pasaran kewangan dan peningkatan harga minyak, jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya, faktor-faktor ini menunjukkan trend positif, harga emas akan terus stabil tetapi ia belum pernah jatuh menjunam dan merugikan pelabur-pelaburnya.

"Apabila berlaku ketidaktentuan ekonomi terutama pasaran global, orang ramai akan mula membeli emas kerana mereka yakin harga emas tidak akan jatuh dan mereka tidak akan mengalami kerugian," katanya.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Habib Jewels mempromosikan kempen 'Rantaian Kasih' yang mana pelanggan boleh mendapat diskaun terbaik bagi barang-barang kemas yang dijualnya.

Pada tahun ini, Habib Jewels membuka ruang pameran di hadapan kedainya di pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya selama sebulan bagi tujuan promosi 'Rantaian Kasih'.

Dijangkakan seramai 24,000 pelanggan akan mengunjungi ruang pameran berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: