UNTUK kali pertama selepas rasmi berpisah dengan Tiger Woods, Elin Nordegren membuat pendedahan terbuka kepada media mengenai hubungan sulit bekas suaminya.
PALING UTAMA...Woods dan Elin sejurus selepas kelahiran Charlie.
“Saya rasa amat malu dan terhina,” katanya.
Kata Elin, tidak pernah sekali pun dia mengesyaki bekas jaguh golf itu akan berlaku curang terhadapnya.
Selama tiga setengah tahun hidup bersama, kata Elin, 30, masanya lebih banyak diluangkan di rumah kerana menguruskan suami dan keluarga.
“Mula-mula kerana hamil, kemudian apabila anak-anak lahir, saya perlu menguruskan mereka,” katanya.
Selepas tembelang Woods pecah, Elin mendakwa, dia dan atlit itu cuba menyelamatkan perkahwinan mereka tetapi gagal.
Akhirnya, kata Elin, mereka bersetuju berpisah adalah cara terbaik.
Dalam sesi temubual dianggap pertama dan terakhir itu, Elin berkata, dia semakin boleh membiasakan diri dengan keadaan semasa selepas bergelar janda.
“Saya melalui pelbagai fasa, daripada terkejut dan tidak percaya dengan apa yang berlaku, menjadi marah dan akhirnya amat kecewa kerana kegagalan rumah tangga yang amat saya harap kekal bahagia demi anak-anak.
“Kini saya berasa semakin tabah berbanding dulu dan yakin dengan keputusan diambil,” katanya.Elin yang melahirkan dua anak - Sam, 3, dan Charlie, 19 bulan - hasil perkahwinan dengan Woods, 34, kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang psikologi.
Walaupun begitu, bagi Elin, tiada lebih penting daripada memastikan anak-anaknya kembali ‘pulih’ seperti sedia kala.
Ditanya mengenai rancangan masa depannya, Elin berkata, perkara pertama akan dilakukan adalah menyesuaikan diri dan hidup dengan suasana baru tanpa Woods sebagai suami serta bapa kepada Sam serta Charlie.
“Saya akan terus menghadiri kelas, tapi fokus utama adalah memberi ruang kepada diri sendiri melupakan segala kepedihan silam,” katanya.
Di sebalik tragedi itu, Elin juga melihat ada rahmat untuknya.
Bagi Elin, dia berasa ‘terpilih’ kerana dapat melihat perjalanan Woods ke puncak sebagai jaguh golf.
“Saya doakan dia mendapat yang terbaik pada masa depan,” katanya.
Elin dan Woods disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Bay County di Panama City, Florida, dan proses selama 10 minit itu dianggap ‘amat menyedihkan’.
Dalam usaha membolehkan prosedur itu berjalan lancar, mereka dikehendaki melengkapkan kursus keibubapaan selama empat jam mengikut undang-undang tempatan.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Woods menyertai kursus Pendidikan Ibu Bapa dan Kestabilan Keluarga pada 10 Julai, hanya beberapa jam sebelum terbang ke St Andrews bagi menyertai Kejohanan Golf Terbuka Britain.
Elin pula menyempurnakan kursus itu pada 16 Ogos lalu.
Menurut beberapa sumber, Elin berazam untuk terus berhubung dengan Woods sebagai kenalan biasa demi kepentingan anak-anak mereka.
Tanpa sebarang butiran didedahkan, dipercayai hak penjagaan Sam dan Charlie dikongsi bersama oleh Elin serta Woods.
Dalam kenyataan bersama selepas perceraian itu disahkan, Elin dan Woods berkata, mereka sedih kerana terpaksa mengambil jalan itu dan berharap setiap mereka bahagia pada masa depan.
“Walaupun kami tidak lagi menjadi suami isteri, kami tetap ibu bapa kepada dua kanak-kanak hebat dan mereka kekal menjadi keutamaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: