Tuesday, August 31, 2010

Bintang Arsenal ditangkap bergaduh


IMEJ satu rakaman kamera litar tertutup yang disiarkan oleh sebuah akhbar semalam menunjukkan satu pergaduhan yang melibatkan Jack Wilshere (gambar kecil) di Kensington, Britain.


LONDON, Britain - Bintang harapan kelab bola sepak Arsenal, Jack Wilshere ditangkap kerana melakukan serangan selepas seorang wanita patah tangan dan seorang lelaki cedera di muka dalam satu pergaduhan di luar sebuah kelab malam di Kensington barat London, lapor sebuah akhbar semalam.

Wilshere yang membuat penampilan sulung antarabangsanya pada bulan ini, sedang meninggalkan kelab malam itu bersama tiga rakannya apabila pergaduhan tersebut berlaku.

Bintang bola sepak berusia 18 tahun itu dipercayai cuba bertindak sebagai pendamai apabila beberapa rakannya bergaduh dengan satu kumpulan lain melibatkan empat lelaki dan seorang wanita.

"Wilshere sedang berjalan bersama beberapa rakannya apabila dia berselisih dengan kumpulan itu di bahu jalan," kata seorang saksi.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi dia cuba meleraikan pertengkaran antara seorang rakannya dengan pasangan itu," tambahnya.

Susulan insiden tersebut, Wilshere dan tiga lelaki lain ditangkap kerana melakukan serangan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada tiga lelaki itu adalah rakannya atau anggota kumpulan seteru mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: