Monday, August 30, 2010

Menjenguk ke zaman lampau




KEINDAHAN kota, tinggalan sejarah dan alam semula jadi menjadikan Eropah antara destinasi yang paling dikunjungi pelancong. Kehebatan kota fesyen dan Menara Eiffel di Perancis sahaja berjaya menarik lebih daripada 80 juta pelancong setiap tahun.

Selain Eropah yang sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir pelancong, dunia masih menyimpan pelbagai destinasi yang mampu menjanjikan percutian terbaik.

Antara yang kerap menjadi pilihan pelancong adalah negara yang kaya dengan tinggalan tamadun silam seperti Mesir, Turki, Magribi, Sepanyol dan Uzbekistan. Lebih menarik, negara berkenaan menyajikan lebih daripada apa yang dijangka.

Sempena Karnival Pelancongan MATTA yang akan berlangsung daripada 3 hingga 5 September ini, Poto Travel & Tours Sdn. Bhd. menawarkan pelbagai tarikan di destinasi seluruh dunia melalui Pakej Pelancongan Muslim termasuk ke Korea, Hong Kong, Australia dan Singapura.

Uzbekistan

Negara Asia Tengah yang paling kaya dengan tinggalan sejarah tertua di dunia termasuk tamadun Islam. Keagungan seni bina boleh dilihat di Ark Fotrerss, Kompleks Bolo Hauz, Ulug Beg dan Madrasah Abdul Aziz.

Di kawasan luar bandarnya, pengunjung boleh melawat Kompleks Bahkhauddin Naqhsbandi di Bukhara dan melawat makam perawi hadis tersohor, Imam Al-Bukhari.

Mesir

Pada harga kira-kira RM5,500, pelancong kini berpeluang menyelongkar khazanah misteri Mesir purba dengan mengunjungi piramid di Giza, Colossi of Memnon, Kuil Karnak, Kuil Kom Ombo, KUil Edfu dan Lembah Raja-Raja.

Percutian di Kaherah, Luxor dan Aswan selama 10 hari tujuh malam itu termasuk pengalaman menaiki kapal persiaran di sepanjang sungai Nil.

Selain itu, kunjungan termasuk ke Kubu Pertahanan Saladin, Istana Gawhara, Masjid Mohamed Ali Pasha, Saidina Hussein dan Imam Shafie.

Turki

Turki yang terletak pada titik pertemuan peradaban benua Asia dan Eropah cukup sinonim dengan Masjid Biru yang menjadi simbol pelancongan Istanbul.

Di Istana Topkapi, pelawat boleh melihat pelbagai khazanah tamadun Islam dan barang-barang milik Rasulullah seperti janggut, pedang dan jubahnya.

Selain itu, pelancong dapat menghayati kesan penguasaan tokoh berpengaruh seperti Mustafa Kamal Attartuk yang terkubur di bawah lipatan sejarah sejak ratusan tahun dahulu. Antaranya Muzium St. Sophia yang pernah dijadikan gereja dan masjid oleh pemerintah terdahulu.

Di luar kawasan bandarnya, keindahan alam semula jadi menanti di Cappadocia yang merupakan kawasan bukit berbatu dan kota bawah tanah Kaymakli yang pernah dihuni tamadun.

Namun kunjungan ke Turki bukannya semata-mata untuk bersiar kerana Grand Covered Bazaar di negara ini menyediakan lebih daripada 4,000 buah kedai untuk mereka yang gemar membeli-belah.

Sepanyol

Untuk lebih penghayatan tamadun Islam, pengunjung yang berpeluang ke Sepanyol boleh melihat kesan-kesan peninggalan masyarakat Islam terutama sekitar Madrid, Toledo dan Cordoba.

Kemuncak kunjungan termasuk Istana Diraja dan Muzium Tentera. Masjid Cordoba yang kini dijadikan gereja dan semestinya lawatan ke Al-Hambra di Granada. Al-Hambra menampilkan keindahan seni bina Islam dengan ukiran dan hiasan kaligrafi daripada ayat-ayat suci Al-Quran.

Peluang membeli-belah dalam suasana bazar kuno menanti pengunjung di Old Medina yang terletak di Fez. Ia adalah tempat dagangan produk-produk tempatan seperti barangan kulit dan tembaga.

Selain Old Medina, pemandangan di Djemaa El Fna di Marrakech juga antara yang mungkin ingin dicuba pelawat. Kawasan yang riuh-rendah dengan suara pedagang dan pemuzik pada waktu siang bertukar menjadi lapangan gerai makan yang meriah menjelang waktu malamnya.

India

KASHMIR yang terletak di sempadan India-Pakistan merupakan kawasan percutian tanah tinggi yang terkemuka di India. Keindahan alam semula jadi di kawasan lembah dan pergunungan menyajikan pemandangan seperti yang dilihat di dalam filem Bollywood.

Semestinya kunjungan ke India tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke ikon pelancongan India iaitu Taj Mahal. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan kecuali mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman berdiri di depan binaan paling ajaib di dunia itu.

Selain mahligai hadiah Shah Jehan kepada isterinya iaitu Mumtaz, pelancong ke India juga boleh melawat kehebatan Kota Pertahanan yang terletak di Agra di samping memerhatikan keunikan budaya masyarakatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: