Monday, August 30, 2010

BSN mahu keluar lebih banyak pinjaman mikro

pix_gal0
Pertumbuhan ekonomi galak permohonan skim lebih positif

BANK Simpanan Nasional (BSN) bercadang untuk mengeluarkan lebih banyak pinjaman skim mikro kredit bagi peniaga kecil dalam usaha memudahkan golongan itu mendapat akses pembiayaan susulan persekitaran perniagaan yang semakin rancak.Sejak skim mikro kredit itu, bank berkenaan setakat ini sudah menyalurkan kira-kira RM248 juta pembiayaan mikro yang memanfaatkan lebih 16,000 peniaga kecil di negara ini.
Naib Presiden dan Ketua Jabatan Mikro Kewangan, Nilammasri Ja’afar, berkata dalam tempoh lapan bulan tahun ini, sejumlah RM70 juta pinjaman dikeluarkan kepada 4,500 peminjam menerusi tiga skim mikro yang ditawarkan BSN.

“Skim berkenaan ialah TemaNiaga, TemaNiaga-i dan TemanMesra. Ia diperkenalkan secara berperingkat sejak 2007 yang menawarkan pembiayaan serendah RM5,000 sehingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik maksimum lima tahun,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, BSN dijangka mengeluarkan pinjaman lebih tinggi tahun depan mengambil kira keupayaan 55 pusat mikro kewangan dan 383 cawangan BSN yang menawarkan pinjaman itu di seluruh negara.

“BSN belum menetapkan sebarang sasaran mengenai pengeluaran pinjaman mikro tahun depan. Bagaimanapun, dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik tahun depan, kami yakin permohonan pinjaman akan menjadi bertambah rancak dan positif,” katanya.
Ketika ini, 61 peratus daripada pinjaman yang disalurkan di bawah tiga skim pembiayaan mikro BSN adalah kepada peniaga terbabit dalam sektor sektor peruncitan, 32 peratus kepada sektor perkhidmatan, manakala tujuh peratus lagi kepada sektor pembuatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, BSN sentiasa memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan akses kemudahan perbankan menerusi kerjasama dewan dan persatuan perniagaan bagi membantu memajukan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Malah, katanya, BSN juga bersedia bekerjasama dengan persatuan perniagaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memajukan serta menaik taraf peniaga di bawah pentadbiran mereka.

“BSN melaksanakan mandat yang diberikan kerajaan untuk memberi kemudahan pembiayaan mikro kepada peniaga kecil dengan serius.

“Walaupun sumbangan segmen ini kepada portfolio pinjaman keseluruhan adalah kecil tetapi peranannya dalam membantu peniaga kecil mendapatkan pinjaman adalah lebih bermakna bagi menjadikan mereka lebih berdaya maju,” katanya.

Setakat ini, Nilammasri berkata, BSN mencatatkan pembayaran balik menggalakkan bagi skim pembiayaan berkenaan dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang masih terkawal

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: