Tuesday, August 31, 2010

Menulis itu perjuangan


Di ruang perpustakaan mini di kediaman Zainuddin di Putrajaya, terdapat banyak koleksi buku, dan gambar. Beliau juga masih menyimpan sebuah mesin taip model Remington.


BERMULA sebagai seorang pemberita sambilan (stringer) untuk Utusan Melayu di Alor Setar, Kedah pada tahun 1959, seorang lelaki yang penuh naluri ingin tahu kini ‘terperangkap’ dalam minat yang tiada penghujungnya-menulis.

Tan Sri Zainuddin Maidin, 71, mengakui bahawa institusi persuratkhabaran telah mencetuskan banyak peluang hebat dalam hidup beliau.

Beliau malah menyifatkan Utuan Melayu sebagai ‘universiti’nya berikutan banyak selok-belok dunia kewartawanan diperolehinya sepanjang tempoh bertugas.

Sejurus diserap masuk sebagai pemberita tetap Utusan Melayu pada tahun 1961, jerih payah beliau mengejar laporan berita selama 20 tahun melayakkan beliau mendaki tangga-tangga jawatan penting dalam syarikat media itu.

Dalam 10 tahun terakhirnya berkhidmat di Utusan dan sebelum bergiat aktif dalam kancah politik, bekas penuntut Maktab Mahmud, Alor Setar itu matang memainkan peranan sebagai pihak yang meniup azam kecintaan kepada negara melalui penulisan.

Apabila pengalaman itu beransur-ansur menjadi darah daging, ternyata langkah bertatih Zainuddin sudah menjadi larian pantas dalam menyampaikan mesej patriotisme.

Dari jawatan ketua pemberita hinggalah ke kerusi Ketua Pengarang dan akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad, beliau yang mesra dengan panggilan Zam amat bersyukur kerana dapat menjalankan tugas bersama kumpulan wartawan yang begitu komited terhadap fitrah kerjaya tersebut.

“Ketika itu, teman-teman kerja yang berlainan bangsa amat seronok menjadi wartawan. Ia satu tugas yang mulia dan bertanggungjawab. Semua bekerja sepenuh jiwa, tanpa mengira kekurangan kemudahan komunikasi pada waktu itu,” ujar beliau yang pernah menjadi koresponden Utusan di London pada tahun 1972 hingga 1975.

Zainuddin amat berterima kasih pada barisan ketua pemberita yang pernah menjadi mentornya. Antara yang disebutkan ialah Tan Sri Melan Abdullah, Othman Wok (pernah menyandang jawatan menteri kabinet Singapura), Tan Sri Mazlan Nordin dan Rosedin Yaakob.

“Melan orangnya patriotik, Othman gigih bekerja dan sentiasa mengetahui perkembangan semasa manakala Rosedin sangat prihatin. Mazlan pula saya anggap seperti mahaguru saya,” imbas beliau.

Menulis sejarah

“Wartawan adalah saksi bagi setiap peristiwa. Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang besar dan boleh dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan, maka wartawan perlu merekodkannya dengan betul. Kesilapan laporan perlu dielakkan kerana wartawan ialah sumber yang boleh dipercayai.


ZAINUDDIN (dua dari kanan) bersama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, pemberitanya, Mazlan Nordin (dua dari kiri) bertemu beberapa figura politik tanah air.


”Sebab itulah saya berharap agar golongan wartawan pada hari ini tidak mensia-siakan kepentingan buku nota dan amalan mencatatkan tarikh, waktu dan urutan peristiwa dengan tepat,” pesan Zainuddin yang turut menyentuh mengenai pemilihan gambar sesuai bagi menjelaskan duduk perkara atau sesuatu kejadian.

Amalan itulah yang antara lain menjadi pegangan Zainuddin ketika beliau menyempurnakan buku berjudul Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot terbitan Utusan Publications and Distributors. Perjalanan hidup dan kisah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, didokumentasi melalui kesaksian Zainuddin dalam banyak peristiwa mengaitkan figura politik itu.

Anak Kota Kuala Muda, Kedah itu telah bersama-sama Abdul Razak ke segala ceruk bandar dan desa ketika kempen pembangunan luar bandar rancak dijalankan pada tahun 1960-an dan awal 1970-an. Begitu juga ketika negara dilanda bimbang dan cemas gara-gara sentimen Konfrontasi Indonesia, rusuhan kaum di Singapura serta tragedi berdarah 13 Mei 1969.

“Orang tidak boleh mempertikaikan kandungan buku itu kerana saya banyak kali berpeluang berada bersama Tun Razak,” ulas Zainuddin yang menyifatkan naskhah tersebut sebagai buku yang memberi kepuasan buatnya.

Malah, ketika Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada tahun 1976, Zainuddin jugalah yang melaporkan untuk akhbar Utusan Melayu lantaran ketika itu beliau bertugas sebagai wakil di kota popular Eropah itu.

Karya kompilasi

Daripada melapor berita, seseorang wartawan sebenarnya mengumpulkan lembaran sejarah. Begitulah antara maksud kepuasan menulis bagi Zainuddin.

Beliau yang meletakkan namanya dalam kutubkhanah negara melalui penerbitan buku sulung Yang Pertama dan Terakhir, kemudian Yang Terbaik Daripada Awang Selamat: Koleksi Pilihan 1987-1992, Mahathir Di Sebalik Tabir hinggalah kepada Wira Tak Didendang, percaya bahawa sejarah perlu ditulis oleh mereka yang menyaksikan sejarah itu sendiri.

“Bukan saya meragui segolongan sejarawan yang menulis semula sesuatu kejadian. Tetapi saya berpendapat, jika seorang wartawan sendiri yang melalui peristiwa dan menulis buku tentang sejarah, maka perincian maklumat tidak akan tercicir. Mereka ialah sebahagian daripada proses penemuan maklumat tersebut,” jelas Zainuddin.

Beliau memberi contoh buku berjudul Men In White, iaitu kisah jatuh bangun para pemimpin parti pemerintah Singapura. Buku itu mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan oleh tiga wartawan kanan akhbar Straits Times, iaitu Sonny Yap, Leong Weng Kam dan Richard Lim.

Coretan Awang Selamat yang menjadi identiti Zainuddin antara tahun 1987 dan 1992 mungkin tiada kemunculan buat kali kedua di dada akhbar. Namun, mereka yang setia pada coretan Zainuddin, tentu maklum akan kolum Hari Itu Sudah Berlalu yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia setiap Ahad.

“Saya menerima panggilan telefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang meminta agar kolum saya itu dibukukan. Permintaan itu juga datang daripada generasi muda, termasuklah para wartawan,” terang mantan Menteri Penerangan itu.

Jika isu masyarakat dan perkembangan negara menjadi fokus Awang Selamat, kompilasi terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) dengan judul Masa Itu Telah Berlalu pula menumpukan pada penceritaan mengenai susah payah dunia kewartawanan sejak Utusan Melayu bermula di Singapura.

“Ia adalah penceritaan semula kisah penubuhan Utusan Melayu. Pembaca didedahkan pada kisah di sebalik laporan atau berita yang dibaca dalam akhbar,” jelas Zainudin yang memperuntukkan dua jam sehari sejak beberapa bulan lalu untuk menghimpunkan material termasuk gambar-gambar lama.

Beliau berharap agar setiap episod penulisan tersebut dapat dijadikan rujukan oleh para ahli akademik dan seterusnya membantu mereka membuat kajian mendalam terhadap isu-isu berkaitan.


ANTARA koleksi buku yang dikarang oleh Zainuddin dan masih popular hingga kini.


“Semua bentuk penulisan saya adalah perjuangan untuk membentuk pemikiran di sebalik setiap kejadian yang besar,” kata beliau berfalsafah.

Bagi orang yang berjiwa penulis seperti Zainuddin, ternyata itulah satu-satunya kemahiran yang akan diteruskan tanpa dikekang usia, jawatan dan batas kesempatan.

Akhbar tidak relevan?

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa surat khabar tidak lagi relevan pada masa akan datang. Perkara itu, menurut beliau, sama seperti andaian yang mengatakan kereta api hilang fungsi kerana wujudnya pilihan mod pengangkutan yang lebih mudah dan pantas.

“Ataupun, pendapat tersebut sama seperti orang yang pernah menyatakan bahawa panggung wayang akan ‘tutup kedai’ apabila munculnya televisyen. Apa yang dilihat kini, baik perkhidmatan kereta api mahupun panggung wayang, kedua-duanya masih wujud dan terus memberi perkhidmatan kerana transformasi yang dilakukan,” kata Zainuddin.

Zainuddin percaya, akhbar masih dicari oleh pembaca kerana ia mempunyai daya kebolehpercayaan yang tinggi. Jelas beliau, berbanding sumber Internet, kandungan akhbar bukan datang sembarangan daripada suara umum yang tidak bernama.

“Penulis akhbar atau wartawan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan maklumat dari sumber hinggalah kepada ia disiarkan.

“Akhbar akan terus relevan. Kandungannnya perlu sering melalui proses perubahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: