Tuesday, August 31, 2010

AXN Beyond janji yang terbaik


Voo Chih Yeong (kanan) bersama Naib Presiden Kumpulan Pengurusan Kandungan Astro, Agnes Rozario pada pelancaran AXN Beyond HD di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.


JULUNG kalinya sebuah saluran bahasa Inggeris, AXN Beyond HD (saluran 720, Astro) diperkenalkan hanya di Malaysia mengisi kehendak penonton yang inginkan pelbagai rancangan yang lebih segar.

Saluran yang memulakan tayangannya semalam (30 Ogos) pada pukul 12 tengah malam merupakan sebuah lagi saluran tambahan pakej Astro Beyond yang diperkenalkan tidak lama dahulu.

Saluran yang padat dengan filem, drama dan rantaian kegemaran antarabangsa itu direka khas bagi menepati cita rasa pelanggan-pelanggan Astro yang semakin meningkat.

Perkongsian Astro dan SPE Networks - Asia ini turut menawarkan dua program eksklusif yang bakal ditayangkan setiap bulan.

Program-program pelbagai genre yang ditawarkan termasuklah misteri dan suspens, fantasi dan sains fiksyen, paranormal dan luar biasa, fesyen dan rekaan serta gaya hidup dan romantik.

Ini termasuklah drama, program realiti, sitkom, program hiburan dan bual bicara.

Naib Presiden Kanan dan Ketua AXN Beyond, Voo Chih Yeong pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, saluran itu merupakan sebuah lagi kandungan yang meliputi pakej Astro Beyond.

“Sasaran kita ialah penonton dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun.

“AXN sebelum ini merupakan antara saluran yang mendapat perhatian di negara ini. Dengan AXN Beyond HD, kami sekali lagi memperkenalkan corak hiburan bermutu tinggi dan unggul di Malaysia di mana penonton bukan hanya memperoleh hiburan malah, isi kandungan yang menarik.

“Kami melihat kepada potensi yang meluas untuk produk ini. Oleh itu, kami merangka hampir setahun lamanya untuk melancarkan AXN Beyond HD selepas kejayaan AXN HD,” katanya.

Antara rancangan yang telah disenaraikan bersiaran menerusi AXN Beyond HD ialah rantaian hit antarabangsa, Lost musim terakhir (setiap Isnin pukul 9 malam) dan siri aksi paranormal, Supernatural (Selasa, 9 malam).

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: