Tuesday, August 31, 2010

Memori indah bersama Tunku




SAMBIL membelek helaian buku tebal yang mendokumentasikan kisah mengenai seorang tokoh kemerdekaan negara, si ibu begitu asyik menceritakan perihal bapanya kepada si anak. Dengan wajah penuh ceria, wanita berusia 78 tahun itu tidak putus-putus memuji lelaki yang disifatkan sebagai anugerah istimewa daripada Allah kepada sebuah negara bernama Malaysia.

Si anak pula mengangguk-angguk tanda setuju. Sesekali dia mencelah perbualan ibunya dengan berkongsi pengalaman manis yang masih kekal terpahat bersama arwah datuknya itu.

“Waktu kecil dahulu, datuk kamu cukup tegas dengan anak-anak. Dia tak suka mak bergaul atau berkawan dengan mana-mana lelaki. Satu perkara yang paling dia tak suka ialah apabila nampak perempuan merokok. Memang menyakitkan hatinya. Malah, dia juga melarang mak memakai gaun atau dres. Tapi, kadang-kadang bila dia tiada kerana menghadiri mesyuarat UMNO, masa itulah mak akan curi-curi pakai,” imbau Tunku Khadijah Tunku Abdul Rahman kepada anak perempuannya, Sharifah Intan Syed Hussein.

Tunku Khadijah merupakan anak sulung, manakala Sharifah Intan Syed Hussein pula cucu sulung kepada Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tunku Khadijah ialah puteri Almarhum Tunku Abdul Rahman daripada dua adik-beradik hasil perkongsian hidup bapanya bersama isteri pertama, Mariam Chong, iaitu seorang wanita kacukan Cina-Siam. Mariam merupakan anak kepada seorang tauke lombong di Alor Setar, Kedah

Adiknya, Tunku Ahmad Nerang kini berusia 77 tahun dan agak uzur.

Dikenang dan disanjung sebagai Bapa Kemerdekaan, Almarhum Abdul Rahman mempunyai dua anak, lapan orang cucu dan 13 cicit hasil daripada perkahwinan dengan isteri pertamanya.

Bagaimanapun, perkahwinan kedua Almarhum dengan Violet Culson pada tahun 1934 di Geylang Serai, Singapura tidak dikurniakan zuriat. Violet seorang wanita Inggeris yang merupakan bekas tuan rumahnya di England.

Kehilangan ibu

Selepas menceraikan Violet atas desakan pihak istana, Tunku berkahwin pula dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah pada tahun 1939. Namun, perkahwinan itu juga tidak dikurniakan zuriat. Sehubungan itu, Tunku telah mengambil empat anak angkat iaitu Sulaiman, Mariam, Sharifah Hanizah (cucu) dan Faridah.

Lantaran mahukan zuriat, Almarhum kemudiannya berkahwin dengan seorang wanita Cina yang dikenali sebagai Bibi Chong pada tahun 1963. Bersama Bibi, Tunku dikurniakan dua puteri iaitu Tunku Nurhayati dan Tunku Mastura.

Mengimbas zaman kecilnya, Tunku Khadijah memberitahu, dia kehilangan ibu pada usia yang terlalu mentah. Bayangkan ketika itu dia baru berusia setahun manakala Tunku Ahmad Nerang baru berumur sebulan. Pada ketika itulah ibunya, Allahyarham Mariam, menyahut panggilan Ilahi.


TUNKU KHADIJAH sering meluangkan masa membaca buku-buku yang memaparkan kisah berkaitan dengan ayahandanya, Tunku Abdul Rahman.


“Saya diberitahu ibu meninggal dunia kerana kecuaian seorang jururawat Inggeris di Kedah yang tersilap memberi suntikan kepadanya yang diserang demam malaria ketika itu. Memang Tunku sangat marah dan sukar untuk menerima punca kematian itu. Pada mulanya Almarhum hampir bertindak menghunuskan senapang ke muka jururawat tersebut. Akibatnya, jururawat itu ditukarkan ke tempat lain,” terang Tunku Khadijah ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas kehilangan ibu, Tunku Khadijah dan adiknya dipelihara oleh seorang pembantu berketurunan Siam.

Sewaktu kecil, Tunku Khadijah bersekolah di Malay School Seberang Perak. Kemudian dia meneruskan persekolahan di Penang Convent School selepas Inggeris masuk semula ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Ketika itu Almarhum Tunku Abdul Rahman sudah berangkat ke England untuk menyambung pelajaran pada tahun 1947. Sekembalinya Tunku ke tanah air, Tunku Khadijah kemudian menetap di Johor sambil mempelajari ilmu dan kemahiran mendandan rambut di Singapura selama setahun.

Teruja dengan ilmu yang dimiliki, Tunku Khadijah membuka sebuah salun rambut yang diberi nama Khadijah’s Hair Dressing Salon sebelum berkahwin setahun kemudian dengan Syed Hussein Syed Abu Bakar. Ketika itu usianya baru mencecah 21 tahun.

Ponteng kelas

“Sebenarnya, Tunku dan Syed Abu Bakar, bapa suami saya, merupakan sahabat baik dan mereka pernah bercadang untuk berbesan satu hari nanti. Namun, mereka tidak menyatakan siapa yang mahu dikahwinkan dengan siapa. Cuma, sekadar harapan umum.

“Bagaimanapun, saya tak sangka akan menjadi anak yang memenuhi impian bapa dan mertua saya,” ujar Tunku Khadijah sambil mengakui beliau gembira dengan perkahwinan tersebut. Perkongsian hidup Tunku Khadijah bersama Syed Hussein diserikan dengan kehadiran tiga orang puteri iaitu Sharifah Intan, kini 55, Sharifah Hanizah, 52 dan Sharifah Menjalara, 51.

Sebagai cucu pertama, kehadiran Sharifah Intan menggembirakan nendanya yang kaya dengan kasih sayang kepada kanak-kanak.

Menurut Sharifah Intan, nendanya seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Walaupun sibuk sebagai seorang pemimpin negara, Almarhum tetap meluangkan masa untuk bersama cucu-cucunya.

“Saya ingat lagi sewaktu bersekolah, apabila ada kesempatan Almarhum akan datang untuk membawa kami keluar berjalan-jalan tanpa mengira masa. Pernah beberapa kali Almarhum datang ke sekolah dan terus mengambil kami pergi bersiar-siar.

“Tindakannya itu adakala menyebabkan kami tertinggal mata pelajaran yang diajar guru kerana terpaksa ponteng kelas untuk bersamanya,” imbas Sharifah Intan sambil membelek koleksi buku dan foto Almarhum Tunku.


MENANTU sulung Tunku, Syed Hussein Syed Abu Bakar (tengah) bersama Tunku Khadijah dan Sharifah Intan.


Sharifah Intan yang kini merupakan Timbalan Pengarang Eksekutif akhbar The Star nyata tidak lokek untuk berkongsi pengalaman sepanjang bersama Tunku.

Menurut Sharifah Intan, ketika melahirkan puteranya, Johan Putra Shufiyan pada tahun 1981 iaitu cicit pertama Tunku, dia berada di London kerana mengikut suami. Apa yang membuatkannya terharu ialah apabila Almarhum Tunku sanggup datang ke London untuk menziarahinya.

“Saya cukup gembira dengan kehadirannya. Ia membuktikan bahawa Almarhum memang menyayangi keluarganya walaupun ada ketikanya Almarhum seorang yang sangat tegas dalam sesuatu perkara,” kata Sharifah Intan sambil mengakui Almarhum gemar dikelilingi oleh anak cucunya.

Satu peristiwa yang turut menyentuh hati Sharifah Intan ialah apabila beliau ke Washington untuk melawat kedutaan Malaysia di sana. Tujuannya adalah untuk berbincang dengan Duta Besar Malaysia di Washington yang ketika itu mahu menubuhkan sebuah agensi menguruskan hal ehwal pelancongan.

Selepas beberapa kali mencuba untuk mengadakan temu janji, beliau tidak menerima sebarang respons daripada pihak kedutaan. Situasi itu menyebabkan Sharifah Intan hampir berputus asa.

Namun, pada satu hari tanpa disangka-sangka, dia menerima panggilan daripada setiausaha duta yang memintanya datang ke pejabat kedutaan untuk satu pertemuan.

Meskipun hairan dengan perkara itu, tetapi Sharifah Intan tetap memenuhi undangan berkenaan. Akhirnya barulah dia tahu bahawa Almarhum Tunku yang menghantar telegram kepada pihak kedutaan agar membantu cucunya di sana.

“Saya terkejut kerana saya tidak pernah menceritakan masalah yang dialami kepada sesiapa pun termasuk kepada Almarhum. Mungkin Almarhum mengetahui keadaan saya di Washington menyebabkannya berbuat demikian,” terang ibu kepada sepasang cahaya mata itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: