DIKENALI sebagai wanita solehah dalam banyak filem dan drama televisyen, kini Zaskia Adya Mecca menyahut cabaran membawa watak lebih sukar.
IMPIAN JADI NYATA...pernah bercadang bernikah pada usia 20 tahun, Zaskia akhirnya mendirikan rumah tangga setahun lewat dari asal.
Dalam filem Sang Pencerah itu, Zaskia berasa agak gugup juga kerana terpaksa membawa watak Siti Walidah ketika berusia 20-an, 30-an dan 40-an.
Bersemangat bercerita mengenai Sang Pencerah, Zaskia berkata, Siti Walidah adalah seorang wanita luar biasa dan gagah.
“Bagi saya, Siti Walidah sangat matang dan bersemangat kerana sentiasa memberi sokongan kepada suaminya walaupun pada saat paling sukar dalam hidup mereka.
“Dia itu juga bertanggungjawab menubuhkan Yayasan Aisyiyah yang berjuang untuk memperkasakan wanita,” katanya.
Turut berlakon dalam filem itu adalah Lukman Sardi, Slamet Rahardjo, Ikranegara, Sujiwo Tejo dan vokalis kumpulan Nidji, Giring Ganesha Jumaryo.
Ahmad Dahlan adalah tokoh ulama yang berjuang membawa pembaharuan di kalangan umat Islam selepas kembali dari pengajian di Makkah.
Beliau juga adalah tokoh mengasaskan pertubuhan Muhammadiyah pada 1912 sebagai badan pendidikan bagi merealisasikan idea reformasinya.
Dianggotai kini kira-kira 20 juta ahli, Muhammadiyah menjadi pertubuhan kedua terbesar di Indonesia selepas Nahdatul Ulama. Kata Zaskia, sehingga kini dia masih gugup kerana tidak cukup yakin mampu membawa watak Siti Walidah.
Malah, dia mengakui tidak mengenali wanita itu sehinggalah dia diberi peranan membawanya dalam Sang Pencerah.“Rupa-rupanya bukan saya saja yang tak tahu, malah ramai yang tidak mengenali Siti Walidah serta Ahmad Dahlan, termasuk pelakon baru,” katanya.
Hanya pelakon generasi lebih lama, kata Zaskia, mengenali kedua-dua watak berkenaan.
“Misalnya, Slamet Rahardjo dan Sujiwo Tedjo. “Mereka banyak tahu mengenai sejarah Ahmad Dahlan dan Siti Walidah,” katanya.
Nama Zaskia, 22, mula meniti bibir peminat selepas muncul dalam drama bersiri arahan pelakon veteran, Deddy Mizwar, Kiamat Sudah Dekat.
Memulakan langkah dalam seni sebagai model selepas muncul naib johan pertandingan anjuran majalah Kawanku pada 2001, Zaskia menarik perhatian syarikat produksi drama bagi membintangi sinetron Bidadari.
Dia turut muncul dalam sejumlah drama lain, termasuk Cinta SMU, Habibi dan Habibah, Lorong Waktu dan Para Pencari Tuhan.
Dia juga membawa watak pembantu dalam filem fantasi, Ayat-ayat Cinta.
Zaskia bercadang berumahtangga seawal usianya 20 tahun, namun dua percintaan awalnya gagal.
Dia akhirnya memilih Hanung sebagai pasangan hidup pada 14 September tahun lalu.
Kini sarat hamil, Zaskia tetap bersemangat menyiapkan penggambaran Sang Pencerah dan tidak menjadikan ia sebagai halangan.
Dalam industri yang sengit persaingannya, Zaskia ditanya sama ada penampilannya bertudung menyebabkan keterbatasan tertentu.
Katanya, ia tidak menghalang aktivitinya sebagai pelakon.
“Malah, saya mendapat lebih banyak tawaran kerana penampilan begini,” katanya.
Mengenai drama Para Pencari Tuhan yang kini masuk musim keempat, Zaskia berkata, dia rela membawa watak diberikan kepadanya, Aya, walaupun tanpa bayaran.
“Watak Aya seperti jelmaan saya sendiri dan saya amat menggemari Para Pencari Tuhan.
“Jika tidak dibayar pun, saya rela membawa watak itu kerana matlamat drama ini adalah berdakwah, selain kualitinya yang tinggi,” katanya.
Sebagai Aya, Zaskia membawa peranan wanita bersuami yang bimbang hamil dan membesarkan anak sendiri.
Walaupun pernah didedahkan merokok di lokasi penggambaran, setakat ini Zaskia kekal menjadi ikon kepada produksi filem dan drama keagamaan di Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: