Monday, August 30, 2010

Tekstur karpet bak bulu kucing


PENGUNJUNG perlu bijak memilih karpet yang bersesuaian dengan konsep dekorasi rumah.


JIKA ada yang berpendapat permaidani hanya ideal dihamparkan di kediaman yang mempunyai ruang yang luas seperti rumah banglo atau rumah teres, ternyata persepsi itu sama sekali tidak benar.

Ini kerana untuk memenuhi cita rasa dan kepelbagai kediaman hari ini, kebanyakan pengeluar memastikan karpet yang hadir bukan sahaja dalam pelbagai bentuk, rekaan dan motif bahkan didatangkan dalam aneka saiz.

Ini diakui sendiri oleh Pengarah Pembangunan dan Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar ketika ditemui Kosmo! di gedung Jakel Karpet bertempat di Jalan Bunus, Kuala Lumpur.

Menurut Azlan tidak dinafikan ramai orang yang menghuni di rumah pangsa, kondominium dan apartmen kerap mengeluh kerana sukar mencari saiz karpet yang sesuai dengan ruang rumah.

Kebanyakan penjual karpet yang lain lebih tertumpu kepada koleksi permaidani bersaiz besar bagi ruang rumah yang luas.

“Kini orang ramai tidak perlu bimbang kerana Jakel Karpet menawarkan rangkaian karpet dari saiz yang paling kecil (1.2 meter x 1.8 meter) sehinggalah ukuran saiz yang besar (3.6 meter X 4 meter).


DI Jakel Karpet pengunjung diberi khidmat nasihat sebelum membeli karpet.


Ini bermakna pada hari lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi setiap kediaman berpeluang untuk tampak indah dengan hamparan karpet Jakel.

“Di sini terdapat enam saiz karpet yang didatangkan dalam bermacam-macam warna, motif dan corak. Tidak ketinggalan kami turut menawarkan rekaan karpet konsep klasik dan moden,” ujar Azlan sambil menunjukkan karpet jenis Shaggy atau lebih dikenali sebagai karpet bulu kucing kerana tekstur karpet itu menyerupai bulu haiwan tersebut.

Tambah Azlan, karpet Shaggy antara karpet moden yang paling popular dan mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penghuni kondominium dan apartmen.

Didatangkan dalam saiz yang sederhana dan warna-warna terang menyebabkan permintaan terhadap karpet itu meningkat sejak minggu lepas. Ia diperbuat daripada fabrik bulu bermutu tinggi.

Dalam pada itu, Azlan mendapati kebiasaannya karpet Shaggy diminati golongan muda yang gemarkan dekorasi rumah konsep ceria dan urban.


SEMPENA lebaran tahun ini Jakel Karpet menawarkan koleksi warna terang dan bercorak moden.


Selain diletakkan di ruang televisyen karpet Shaggy juga sesuai dihamparkan di kamar tidur, ruang tamu mahupun bilik bacaan.

Penggunaan warna terang dan corak moden membantu menyuntik mood ceria sesebuah kediaman itu.

Aneka karpet

Selain karpet Shaggy, Jakel Karpet juga menawarkan karpet bulu, karpet sutera, alas kaki dan karpet eksklusif buatan tangan dari Mesir, Iran dan Turki.

“Paling istimewa karpet sutera yang berharga RM3,500. Karpet ini tidak mudah terbakar dek puntung rokok atau lilin kerana ia mengandungi kandungan benang sebanyak 2.5 juta. Jahitannya pula kemas, tahan lama dan menampilkan corak-corak elegan.

“Boleh dikatakan sebanyak 90 peratus karpet di Jakel datangnya dari Mesir, selain Belgium. Seperti yang kita sedia maklum permaidani buatan Mesir cukup kemas, bermutu dan unik,” ulas Azlan yang menasihatkan karpet yang dipilih harus bersesuaian dengan konsep dekorasi dan keluasan rumah.

Usah terlalu obses membeli karpet disebabkan faktor warna dan corak semata-mata. Sekiranya set perabot dan hiasan bercirikan moden maka karpet corak moden merupakan pilihan yang paling ideal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: