Monday, August 30, 2010

Tiada siapa boleh ganti Achik

SEJAK zaman remaja hinggalah berstatus ibu tunggal, penyanyi Siti Nordiana Mohd Alias cukup serasi bernaung di bawah syarikat rakaman, Fantasia Music City (FMC) Sdn Bhd, sekalipun selepas kematian pasangan duet setianya, Allahyarham Achik Spin.

pix_middle



Tidak dinafikan pemergian mengejut Achik atau Abdillah Murad Md Shari, 28, ke rahmatullah pada 17 April lalu begitu menyedihkan Siti Nordiana atau Nana.
Namun, apakan daya Tuhan lebih menyayangi Achik.

Timbul persoalan apakah Nana akan mencari pasangan duet baru untuk meneruskan kariernya?

Ujar anak jati Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini, dia tidak akan mencari pengganti arwah sahabat lamanya yang dikenali sejak usia 14 tahun dulu.

“Tiada sesiapa yang boleh gantikan arwah Achik sebagai rakan duet saya.
“Ini kerana saya yakin peminat sudah sebati dengan gandingan kami. Malah, lagu duet kami seperti Paling Comel dan Benang Emas pun masih diingati.“Lagipun, tak seronok rasa­nya ­menyanyi dengan orang lain ­berbanding arwah. Kami ada keserasian. Sekarang, apabila arwah sudah tiada, barulah saya percaya pada kata-kata peminat yang anggap kami pasangan kembar.


“Biasalah, dulu di mana saja saya mengadakan persembahan, mesti bersama Achik. Oleh itu, mulai sekarang saya kena bergerak sendirian dan harus membiasakan diri tanpa Achik,” katanya yang akan beraya tanpa anak di sisi.

Kata Nana, Aidilfitri kali ini diraikan bersama keluarga di kampung kerana anak tersayang, Muhammad Rayyan Nakhaie, dua setengah tahun, akan beraya dengan bekas suami, pelakon Faizal Yusop.

“Kalau ikutkan, saya tak boleh berpisah dengan Rayyan. Tapi tidak adil untuk Faizal kerana dia ayah kandung anak saya. Oleh itu, kali ini giliran Rayyan pula beraya bersama ayahnya dan saya harus akur.

“Biarpun sudah berpisah, hubungan saya dengan Faizal tetap baik demi Rayyan. Syukur, kami berdua mampu bertolak ansur untuk kebaikan anak. Saya pun tak mahu Rayyan rasa kurang kasih sayang daripada ayahnya.

“Malah, apa yang saya tahu, Faizal sudah menyediakan segala keperluan untuk Rayyan kerana mereka akan beraya bersama sehingga Aidilfitri ketiga. Saya pula lebih tertumpu untuk mengunjungi sanak saudara.

“Saya harus memastikan diri sibuk supaya tidak terasa ketiadaan Rayyan. Bagaimanapun, saya akan tetap beraya sepuasnya dengan Rayyan apabila kami bersama nanti,” katanya yang merakamkan lagu baru ciptaan Azlan Abu Hassan selepas Aidilfitri nanti.

Nana juga baru selesai menjayakan drama Aku Budak Minang 2 untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Drama 13 episod itu adalah kemunculan semula Nana dalam bidang lakonan selepas menyepi diri kerana berkahwin.

Menyentuh soal peribadinya, Nana hingga kini masih selesa memilih hidup solo.
Dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga kali kedua kerana kegagalan perkahwinan lalu masih lagi satu fobia.

“Jujur saya akui, tiada sesiapa yang istimewa dalam hati saya ketika ini melainkan Rayyan seorang. Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berkahwin lagi selain mahu memberi tumpuan membesarkan Rayyan. Dia adalah segala-galanya buat saya.

“Saya rasa macam dah serik untuk mendirikan rumah tangga, tapi kalau masih ada jodoh lagi saya takkan menolak. Mungkin saya kena bersikap lebih selektif kerana tak mahu pisang berbuah dua kali.

“Apapun, saya bersyukur kerana masih ada karier tetap untuk menampung hidup. Sekurang-kurangnya, saya bukanlah janda yang hilang arah,” katanya.

Berusia 26 tahun, Nana berkata dia sangat bersimpati dengan Tasha atau HM Rosezaitul Suriani Wati Maarof, balu rakannya, Achik.

Jelasnya, Tasha seorang wanita yang tabah dan sabar dalam membesarkan dua anaknya, Puteri Nursafiyya dan Puteri Nur Sumayya.

Kata Nana, melihatkan kekuatan Tasha itu sebagai sahabat, dia hanya mampu memberikan sokongan.

Akui Nana, dia juga selalu menziarah pusara Achik sekiranya pulang ke kampung kerana persahabatan mereka sentiasa kekal abadi.


PROFIL
NAMA: Siti Nordiana Mohd Alias
PANGGILAN ­KOMERSIAL: Siti Nordiana atau Nana
ASAL: ­Sendayan, Negeri ­Sembilan
USIA: 26 tahun
STATUS: Ibu tunggal
KARIER: Penyanyi,­ pelakon dan ­Kaunselor Pendidikan­ di City Universiti College of Science and Technology,­ Petaling Jaya
ANAK: ­Muhammad Rayyan Nakhaie (dua setengah­ tahun)
DRAMA: Wad 04, ­Helah, 3 Dara ­Pingitan dan Aku Budak Minang 2
(13 episod)

1 comment:

  1. askum...sya nak bertanye blh sya ganti tempat achik,..ne no phone sya 0104264549

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: