TAK habis-habis Cik Normah dengar orang merungut pasal Jimmy Shanley. Dulu ketika dia mengacarakan Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), ramai yang mengadu Jimmy suka cakap merapu. Gaya mengacara juga entah apa-apa.
Lebih teruk lagi apabila dia boleh kata tiupan saksofon bapa kepada salah seorang pelajar AF yang diundang pada sebuah konsert mingguan sumbang. Tak tahu pula Cik Normah, kalau niat Jimmy sebenarnya cuma berlawak, tetapi caranya itu tak kena tempat. Tapi setahu Cik Normah, Jimmy tu bukan saja tiup, entah-entah cara nak pegang saksofon pun belum tentu betul atau tidak.Ingatkan selepas AF8 berlalu, tiada lagi rungutan mengenai Jimmy. Tetapi telahan Cik Normah silap apabila beberapa rakan membebel-bebel di telinga Cik Normah, mengadu mengenai sikap Jimmy kurang sopan. Bersungguh-sungguh mereka minta Cik Normah coretkan dalam kolum ini. Cik Normah agak keberatan sebenarnya sebab kawan Cik Normah, Kak Pora pernah menegur Jimmy.Bagaimanapun, demi kebaikan Jimmy, Cik Normah turuti juga kehendak rakan-rakan. Kata rakan Cik Normah, mereka menyampah dengan Jimmy yang nak buat lawak tak jadi ketika mengacara sebuah program TV, baru-baru ini.
Ketika itu, program berkenaan menjemput artis yang bertubuh besar seperti Adibah Nor, Bob AF dan Syanie. Hanya disebabkan mereka bertubuh besar, sesuka hati si Jimmy saja nak mengata mereka dengan lawak bodohnya. Sudahlah mengundang orang untuk ke program awak, tetapi mulut tak tahu nak jaga. Cakap main lepas saja seolah-olah mereka semua tunggul kayu yang tidak ada apa-apa perasaan.
Satu lagi lawak yang kawan Cik Normah kata memang bodoh apabila tiga selebriti itu diminta bersenam. Apabila bersenam, adalah adegan lompat-lompat. Si Jimmy kononnya nak buat lawak, dia pun buatlah macam terhoyong-hayang gara-gara gegaran tiga selebriti itu. Kawan Cik Normah kata, dia tak rasa langsung itu semua sebagai satu lawak.
Tapi nasib baik Bob, Syanie dan Adibah Nor tak bengang. Kata kawan Cik Normah, kalaulah mereka bertiga itu berpakat tinggalkan rakaman program itu sebab kecil hati, baru padan muka di Jimmy. Jadi Cik Normah menasihati Jimmy supaya berhati-hatilah ketika berkata-kata. Jangan cakap syok sendiri saja sebab nak cari populariti. Bukan apa, tak eloklah kalau bercakap untuk menyakitkan hati orang saja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: