|
|
KEDATANGAN Ramadan memberikan peluang kepada umat Islam menjamu selera bersama-sama keluarga dan rakan-rakan setelah seharian menunaikan ibadah tersebut.
Sempena Ramadan ini, apa kata anda mencuba masakan yang disediakan di Hotel One World Bandar Utama dan nikmatilah pelbagai menu istimewa khusus untuk bulan berkat ini.
Di Cinnamon Coffee House, anda akan dapat merasai juadah mewah bufet dari menu-menu istimewa yang bertemakan Citarasa 1Malaysia.
Dengan hanya RM98++ untuk dewasa dan RM49++ bagi kanak-kanak (empat hingga 12 tahun), bufet berbuka puasa itu akan memberikan yang terbaik untuk anda bermula dari 11 Ogos hingga 9 September ini.
Menurut Chef pakar masakan Melayu Hotel One World, Zaliha Asmael, seperti tahun-tahun sebelum ini, beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menyediakan sajian masakan Melayu.
Untuk itu, Ramadan tahun ini beliau menyediakan masakan seperti siput sedut masak lemak cili padi, gulai daging salai belimbing buluh, ikan talapia masak berlado, kambing tumis darat bernangka, udang sambal petai Muar dan banyak lagi.
''Kesemua menu masakan Melayu yang disediakan menggunakan rempah ratus asli tempatan untuk memberikan citarasa kampung yang asli.
''Saya menggunakan bahan-bahan segar setiap hari agar masakan dihasilkan memberikan aroma serta rasa asli,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah Chef Zaliha, menu-menu yang disajikan akan dihidangkan secara bergilir-gilir dan terdapat lebih kurang 140 hidangan setiap hari.
Kesemua hidangan tersebut termasuk masakan Melayu, Cina dan India manakala bagi menu 'wajib', kambing golek turut tidak ketinggalan dihidangkan buat peminat-peminat daging kambing.
''Kami turut menyediakan masakan pantai timur seperti nasi ulam masakan utara, laksa Kedah, nasi kandar berlauk dan banyak lagi.
''Pelbagai jenis ikan bakar disediakan dan ia akan dibakar mengikut permintaan pengunjung agar ia disajikan panas-panas,'' katanya.
Jelasnya, setiap hari sepanjang bulan Ramadan, dia akan menyediakan masakan untuk 800 hingga 1,000 orang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: