Tuesday, August 31, 2010

Seronok berkampung di empat buah negeri




KEPADA sesetengah peserta ASEAN Amazing Youth Explorace 2010, Malaysia bukanlah sebuah destinasi asing, namun ada kelainan pada kunjungan mereka kali ini.

Jika sebelum ini ada di kalangan remaja di Asia Tenggara datang ke Malaysia untuk membeli-belah bersama keluarga, tetapi kunjungan mereka pada awal Ogos lalu ke negara ini sebagai peserta ASEAN Amazing Youth Explorace 2010 cukup mengujakan.

Mengapa? Lokasi persinggahan mereka bukanlah kompleks beli-belah Pavilion, Mid Valley atau Suria KLCC sebaliknya mereka menjalani pelbagai aktiviti di kampung, menjadi anak angkat menangkap ikan di sungai, bermain boling kelapa dan sebagainya.

Tidak kisah sama ada dinobat sebagai pemenang atau tidak dalam pertandingan yang dianjurkan, perkataan terima kasih dan senyuman sentiasa terukir di bibir para peserta. Kepada mereka, pengalaman berkampung selama seminggu dari 3 hingga 9 Ogos lalu di negara ini membuka satu perspektif baru negara-negara Asia terutama Malaysia.

Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya merupakan destinasi yang dipilih untuk kembara 30 orang peserta dari Laos, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Myanmar, Kemboja dan Malaysia.

Salah seorang peserta dari Singapura, Huang Jiayi, 19, berkata, meskipun berjiran dengan Malaysia dan sering ke Kuala Lumpur namun pengalaman kali ini adalah di luar jangkaan beliau.

Katanya, biarpun sering membeli-belah di Malaysia beliau hanya berkesempatan melihat Malaysia melalui di kota-kota besarnya sahaja.

"Saya rasa terpegun kerana selama ini selama ini saya hanya kenali Malaysia sebagai destinasi membeli-belah kerana harga yang ditawarkan sangat murah. Hari ini baru saya tahu sebenarnya negara ini cukup unik terutama dari segi budaya dan keramahan penduduknya," kata Jiayi.

Pandangan yang sama dikongsi oleh peserta dari Vietnam, Nguyen Thi My Hanh, 23. Beliau cukup teruja untuk mengenali Malaysia.

Sepanjang berada di negara ini makanan tempatan seperti masak lemak cili api, cendol dan nasi lemak ternyata membuka seleranya setiap hari.

"Saya sangat suka," katanya. Kepada Abdul Qawiy Abdul Khani, 22, berada di Malaysia tidak ubah seperti berada di negaranya sendiri, Brunei. Perbezaan hanya pada layanan yang diterima namun ia meninggal kenangan yang cukup manis kepadanya.

Berada di Homestay Kampung Lonek, Jempul, Negeri Sembilan banyak membuka mata beliau terhadap kehidupan masyarakat kampung di situ.

Katanya, mempunyai ibu angkat merupakan hadiah bermakna biarpun hanya sempat bermalam selama dua hari satu malam.

"Saya gembira diberi peluang ini dan ia amat bermakna tambahan pula boleh mengenali ramai rakan serantau di sebuah lokasi sahaja," katanya.

Peserta yang dibahagikan kepada lima kumpulan didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuklah mengenali permainan tradisi, makanan, budaya masyarakat kampung dan keindahan flora dan fauna.


PESERTA meredah arus Sungai Tembeling untuk ke Taman Negara.


Dari Melaka mereka memulakan penjelajahan dengan mencari pelbagai petunjuk yang membawa para peserta mengenali bandar raya bersejarah itu.

Mereka diberi peluang mengunjungi tempat-tempat menarik dan bersejarah seperti A Famosa, Dataran Pahlawan, Bangunan Stadthuys, Muzium Samudera dan Kapal Flor De La Mar.

Pengembaraan diteruskan ke Homestay Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan. Di situ, para peserta didedahkan dengan permainan tradisional sebagai tugasan utama.

Antaranya, termasuklah mengocak ikan, bermain boling kelapa dan pertandingan membaling belon air untuk setiap kumpulan mengutip mata.

Dari Kampung Lonek, pengembaraan diteruskan ke Taman Negara Pahang.

Di sana, para peserta didedahkan dengan keindahan flora dan fauna hutan hujan tropika tertua di Asia Tenggara.

Keindahan kota

Berjalan di atas jambatan gantung, meredah arus Sungai Tembeling dan menjengah perkampungan Orang Asli kaum Batek adalah antara pengisian para peserta sepanjang mereka menginap dua hari satu malam di sana.

Selesai bermalam di Taman Negara, para peserta kemudian dibawa ke Kuala Lumpur.

Sekembali ke Kuala Lumpur, para peserta dibawa menyaksikan keindahan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan.

Antara destinasi yang dikunjungi ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan pusat beli-belah di sekitar Bukit Bintang dan Suria KLCC.

Sebelum berangkat pulang ke negara masing-masing, kesemua peserta diraikan dalam satu majlis penutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit.

Pada majlis yang sama, Kumpulan Satu yang dianggotai oleh Ling Sie Jo dari Malaysia, Long Sela dari Kemboja, Abdul Qawiy Abdul Khani dari Brunei, Thi Thanh Thuy Do dari Vietnam, Lia Putwaty dari Indonesia dan Khamphat Chantavong dari Laos dinobatkan sebagai juara edisi pertama kejohanan ASEAN Amazing Youth Explorace.

Bagi fasilitator kumpulan itu, Rubiah Zainal, kemenangan tersebut cukup bermakna kepada semua peserta kumpulannya.


MENOREH getah mungkin bukan sesuatu yang mudah kepada peserta ini.


"Terlalu banyak pengalaman manis yang diperoleh. Kemenangan ini juga disifatkan sebagai berbaloi," katanya.

Kesemua peserta menerima sebuah trofi dan sijil penyertaan. Bagi pihak penganjur, penganjuran buat julung-julung kalinya ini menjadi satu titik tolak mengeratkan lagi hubungan antara negara-negara serantau.

Dianjurkan bersempena sambutan ASEAN Youth Traveller Year 2009/2010, sambutan ulang tahun hari Asean ke-43 itu dianggap berjaya.

Pengarah Program, Muhamad Reza A. Sudirman berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk mengumpul peserta dari negara serantau di satu-satu tempat pada satu masa.

Sehubungan itu, komitmen dari negara-negara terlibat amat dihargai, apatah lagi ini merupakan kali pertama acara seumpamanya berlangsung.

"Kami berasa sangat gembira kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Rata-rata kesemua peserta teruja dan seronok dengan program yang dirancang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: