Tuesday, August 31, 2010

Selera India Utara di Naan


Shatina Parwiz Kausar dan Mohamad Fareedz Mohamad Nor menunjukkan air couple gelas besar, di restoran mereka, di Ampang.


BERBUKA di hotel semestinya meriah dengan pelbagai hidangan eksklusif namun harga yang perlu dibayar untuk satu sesi berbuka puasa bersama keluarga boleh mencecah RM500.

Jika itu jumlahnya, ia bukan harga yang mampu dibayar oleh kebanyakan kita apatah lagi bagi yang berpendapatan sederhana. Namun tidak dinafikan, berbuka secara bufet kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup kota.

Bagi memenuhi kehendak berbuka puasa, Naan Corner yang beroperasi di Ampang Jaya menawarkan pelbagai cita rasa makanan melalui hidangan bufet di premis yang berkonsepkan gerai lima bintang.

Pemilik generasi keduanya, Shatina Parwiz Kausar, 27, berkata, sajian berbuka puasa yang diadakan setiap tahun memberi peluang kepada rakyat negara ini menikmati sajian ala-hotel pada harga lebih murah.

"Kita bukan sahaja menyediakan makanan yang baik tetapi mempunyai suasana bersih dan selesa," ujarnya yang mengambil alih perniagaan bapa beliau beberapa tahun lalu.

Sepanjang puasa, Naan Corner menawarkan lebih daripada 40 jenis makanan yang disediakan secara bufet di restoran yang mampu memuatkan 200 orang itu.

Antara yang dihidang kepada pelanggan termasuk makanan laut seperti ikan pari, siakap, udang dan ketam yang dimasak asam pedas, mentega dan bakar.

Hidangan bufet ditawarkan pada harga RM24.99 untuk dewasa manakala RM12.99 (kanak-kanak). Harga tidak termasuk minuman buah-buahan yang disediakan dalam tiga saiz gelas berharga RM10.

Antara yang menarik adalah air couple iaitu jus tembikai gelas besar yang diisi penuh dengan satu tin laici. Sajian bufet juga diserikan dengan susunan kuih-muih moden dan tradisional.

Sementara itu, Shatina yang dibantu suami, Mohamad Fareedz Mohamad Nor, 27, berkata, keselesaan berbuka di gerai lima bintang itu juga disokong oleh faktor persekitaran dan kemudahan asas.

Berbeza dengan kebanyakan gerai, makanan di Naan Corner dihidangkan dalam pinggan dan gelas kaca, set meja dan kerusi makannya beralas bahkan jel pencuci tangan juga disediakan dalam beberapa botol berperisa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: