Syarikat tiada masalah jayakan Dasar Perumahan Negara
SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) berkemampuan membina sehingga 40,000 unit kediaman mampu milik dengan anggaran kos pembinaan mencecah lebih RM4 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dalam memastikan Dasar Perumahan Negara dilaksanakan dengan jaya.Pengerusinya, Datuk Idris Haron, berkata berdasarkan pengalaman membangunkan hartanah sejak 13 tahun lalu, SPNB tiada masalah membina sebahagian daripada sasaran pembinaan 78,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).“SPNB setakat ini juga sudah membina lebih 40,000 unit kediaman mampu milik di seluruh negara yang bernilai kira-kira RM4 bilion, yang dijual antara RM40,000 hingga RM99,000 bergantung kepada pasaran semasa.
“Kami juga sentiasa bersedia melaksanakan sebahagian daripada projek rumah mampu milik kerajaan dalam RMKe-10,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.
Beliau berkata, peranan SPNB bukan saja membina rumah mampu milik, tetapi juga dalam Program Rumah Mesra Rakyat dalam memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman, selain projek kuarters kerajaan dan program perumahan rakyat.
SPNB adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada Ogos 1997 dengan matlamat menyediakan rumah kos rendah kepada rakyat berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Idris berkata, SPNB kini dalam proses menyemak semula dasar, pelaksanaan dan konsep perumahan mampu milik dengan meluaskan skop tanggungjawab bukan setakat menyediakan rumah, tetapi membina kehidupan untuk golongan itu.
“SPNB kini bergerak ke arah transformasi yang menjurus kepada pembinaan kediaman yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan termasuk mewujudkan
prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), memasang penapis air dan perlindungan petir.
“Ketika ini lebih 16,600 kontraktor pelbagai kelas terbabit dalam projek pembinaan kediaman SPNB,” katanya.
Dalam pada itu, katanya SPNB juga kini memperkenalkan tiga pakej istimewa bagi menarik pembeli rumah iaitu Pakej Prima ditawarkan untuk unit yang mempunyai prestasi jualan yang baik dan Pakej Optima iaitu unit yang mempunyai jualan sederhana dan belum dijual antara dua hingga tiga tahun.
Beliau berkata, bagi Pakej Maksima ia pula ditawarkan bagi unit kediaman milik rumah mampu milik yang sukar dijual antaranya disebabkan kedudukan lokasi yang melebihi tiga tahun.
“Antara insentif yang ditawarkan bagi ketiga-tiga pakej ini termasuk subsidi 100 peratus yuran guaman, tempahan kemasukan sifar tanpa deposit tempahan, bagaimanapun satu peratus wang pendahuluan perlu dibayar semasa perjanjian jual beli ditandatangani,” katanya.
Idris berkata, SPNB juga dalam peringkat menubuhkan pusat panggilan bagi menangani semua aduan dan rungutan daripada pelanggan. Kebanyakan aduan yang diterima adalah berkenaan kerosakan rumah dan pembayaran bagi pihak kontraktor.
Dalam pada itu, katanya SPNB juga dalam perancangan melaksanakan pembinaan 6,979 unit kediaman yang dianggarkan bernilai RM668.012 juta antaranya di Ayer Puteh, Kedah; Mukim 12, Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang; Lot 809 Mukim Cheras, Selangor dan di Ampangan, Negeri Sembilan, yang dijangka bermula tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: