|
|
SEBUT sahaja Sazali Samad, peminat dunia sukan pasti mengenali lelaki berusia 43 tahun ini yang sudah banyak kali mengharumkan nama negara dalam sukan bina badan.
Sudah banyak kejayaan diraih. Terbaru, anak kelahiran Johor itu merangkul gelaran juara dunia kelimanya setelah menjuarai kategori ‘bantamweight’ pada Kejohanan Bina Badan Persekutuan Bina Badan dan Sukan Tubuh Dunia (WBPF) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Meskipun baru bergelar juara, Sazali semakin bersemangat menjalani latihan untuk menghadapi WBPF yang akan diadakan di Varanasi, India pada Oktober ini.
Sazali yang memiliki koleksi gelaran juara dunia yang diadakan di Melaka (2000); Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006) dan Jeju Island, Korea Selatan (2007) dan Dubai (2009) mengharapkan doa rakyat Malaysia bagi mengekalkan kejuaraan dunia kali keenam itu nanti.
Sazali yang berpangkat Sarjan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memulakan persiapan awal sejurus selepas pulang dari Teheran, Iran dengan membawa kemenangan sebagai Mr. Asia pada Kejohanan Bina Badan Asia di negara terbabit.
Temubual untuk ruangan Gaya Polis ini dibuat ketika beliau sibuk dengan sesi latihannya di Pusat Sukan PDRM di Bukit Aman, baru-baru ini.
Melihat sendiri kesungguhan dan kegigihan Sazali berlatih, ianya sungguh mengkagumkan. Walaupun menjalani ibadah puasa, ia bukan satu alasan buat Sazali untuk berehat.
Semangatnya yang berkobar-kobar antara resipi kejayaan yang telah diperolehinya sebelum ini.
“Saya menjalani latihan dan senaman yang konsisten selama tiga jam pada sebelah pagi dan tiga jam lagi pada sebelah petang setiap hari.
“Amalan pemakanan yang betul amat penting. Dalam tempoh tiga bulan sebelum kejohanan, saya elakkan mengambil makanan berminyak, berlemak atau mengandungi gula. Teknik masakan hanya terhad kepada rebus atau bakar sahaja.
“Selain itu, saya mengambil pelbagai jenis vitamin sebagai makanan tambahan. Kos pemakanan saya mencecah RM3,000 sebulan yang dipantau oleh pakar pemakanan peribadi, Ahmad Zawawi Zakaria,” katanya.
Pada kejohanan di India nanti, Sazali bakal berdepan dengan barisan pencabar utama dari negara Thailand, Mynmar, Indonesia dan Vietnam.
“Perkara yang paling utama dalam pertandingan seperti ini ialah kekuatan minda dan psikologi.
“Pada masa ini, saya banyakkan berdoa, berserah diri pada Allah dan mohon perlindungan daripada segala kejadian yang tidak diingini berlaku sebelum dan semasa pertandingan. Doa adalah senjata terbaik orang Islam,” jelasnya.
Sazali menyatakan, beliau belum mencapai kepuasan yang sebenar dalam bidang tersebut. Malah, jelasnya ilmu sukan bina badan yang dipelajari ketika berada di California, Amerika Syarikat pada 2006 belum diaplikasi sepenuhnya.
Katanya lagi, pengalaman manis yang sukar dilupakan ialah ketika merangkul gelaran Atlet Bina Badan Terbaik serta gelaran Mr. Universe pada kejohanan melihat seluruh negara-negara di Asia yang diadakan di Melaka pada 2000.
Malah, pada tahun yang sama juga beliau dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.
Tiada siapa yang menyangka atlet bina badan itu pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahannya dulu.
“Agak menggelikan hati jika dikenang zaman sekolah. Tubuh saya yang kecil menjadi usikan rakan-rakan sekolah.
“Minat saya dalam bidang ini mula timbul selepas melihat kejayaan jaguh bina badan, Datuk Malek Noor. Dia benar-benar menjadi inspirasi saya untuk menjadi sepertinya,” katanya lagi.
Sazali memulakan langkahnya dengan mengangkat besi-besi buruk yang diambil daripada bengkel rakannya selain menghasilkan `dumb bell’ sendiri dengan menggunakan simen dan tin milo.
Langkahnya bertambah lancar apabila beliau dan rakan-rakan mula mengunjungi Pusat Sukan PDRM pada tahun 1988.
Jelas Sazali, bakatnya mula disedari oleh Pengurus Pasukan Bina Badan PDRM, Deputi Supritendan Roslan Ahmad.
“Dia menghampiri saya ketika sedang bersenam. Saya tidak akan lupa kata-katanya dulu, dia kata saya ada potensi untuk jadi jaguh bina badan,” katanya yang menyertai PDRM pada tahun 1992.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: