Tuesday, August 31, 2010

KWSP ceburi pelaburan hartanah RM4.9b di UK

pix_gal0
Pulangan jangka panjang dijangka antara enam, tujuh peratus

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pelaburan jangka panjang berjumlah 1 bilion pound (kira-kira RM4.9 bilion) dalam sektor hartanah di United Kingdom (UK) yang dijangkakan memberikan pulangan antara enam dan tujuh peratus.Agensi pengurusan dana pencen itu memilih UK sebagai destinasi bagi pelaburannya dalam sektor itu disebabkan pasaran hartanahnya yang stabil serta aset hartanahnya yang mudah dijual bagi mendapatkan tunai.
Selain itu, UK juga adalah antara pasaran hartanah terbesar dunia dan mempunyai undang-undang tanah yang kukuh yang dapat melindungi kepentingan pemilik tanah, manakala London adalah pusat perkhidmatan bagi pasaran hartanah Eropah.

Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata KWSP melantik ING Real Estate Investment and Management dan bahagian pengurusan hartanah Deutsche Bank, RREEF sebagai perunding dan penasihat bagi pelaburannya itu menerusi satu tender terbuka.

Namun, katanya, di sebalik membuat pelaburan di luar negara, KWSP tetap meneroka peluang pelaburan dalam sektor hartanah di Malaysia.

“Ketika ini, KWSP antaranya mempunyai pelaburan dalam bangunan Sogo, Wisma KFC, Pusat Latihan MAS, rangkaian pasar raya Giant dan cawangan CIMB,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau berkata, peruntukan KWSP bagi pemilikan strategik dalam aset hartanah adalah sekitar lima peratus, tetapi ketika ini jumlahnya belum mencapai satu peratus.

“Justeru, adalah menjadi hasrat kami untuk meningkatkan peratusan itu. Malah, jika mengambil kira pelaburan terbaru di UK itu pun, peratusannya masih jauh di bawah jumlah peruntukan KWSP bagi pemilikan strategik aset hartanah,” katanya.

Sebagai pengurus dana pencen, KWSP katanya, sentiasa mengamalkan dasar pelaburan berhemah dan berisiko rendah.

“KWSP sangat mementingkan kepatuhan kepada dasar peruntukan aset strategik yang diwujudkan bagi memastikan ia dapat mengekalkan pulangan pelaburan yang konsisten dalam jangka panjang,” katanya.

Setakat ini, KWSP katanya, berjaya mengamalkan pengurusan risiko yang berkesan dan baik yang sentiasa diteliti secara kerap bagi memastikan keberkesanannya dalam melindungi pelaburan.

“Amalan ini dapat membantu KWSP memastikan strategi pelaburannya sentiasa bergerak seiring dengan senario ekonomi domestik dan global,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: