Tuesday, August 31, 2010

Kumpul 150,272 kg bahan terbuang


SEMUA pemenang Kempen Kitar Semula anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan F&N Beverages bergambar bersama.


SEPANJANG hayat anda berapa banyakkah bahan-bahan terbuang yang pernah anda kumpulkan untuk dikitar semula? Satu kilogram (kg), dua kg atau mungkin juga sepuluh kg?

Namun bayangkan betapa murninya Kempen Kitar Semula anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan F&N Beverages apabila melibatkan 32 buah sekolah di kawasan itu mereka berjaya mengumpulkan 150,272kg barangan boleh kitar semula dalam tempoh tiga bulan.

Memasuki edisi keempat tahun ini, Sekolah kebangsaan (SK) Taman Tun Dr. Ismail Jaya berjaya mengekalkan kejuaraan lalu dalam kategori sekolah rendah apabila mengumpulkan sebanyak 33,949.5kg barangan terbuang.

Sekolah tersebut membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,500. Lebih membanggakan apabila sekolah tersebut juga menerima Anugerah Khas kerana berjaya mengumpul 3,851kg plastik.

Tempat kedua dengan bahan kitar seberat 13,289kg menjadi milik SK Seksyen 9, Shah Alam yang membolot wang tunai RM1,300 manakala tempat ketiga ialah SK Seksyen 19, Shah Alam (5,956.5kg) yang membawa pulang wang tunai RM 1,200.

Bagi kategori sekolah menengah pula, wang tunai sebanyak RM1,500 menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 2, Shah Alam apabila muncul juara dengan mengumpul sebanyak 15,240kg barangan kitar semula.


SK Taman Tun Dr. Ismail Jaya berjaya mengekalkan kejuaraan lalu apabila mengumpulkan sebanyak 33,949.5kg barangan terbuang.


Tempat kedua disandang SMK Alam Megah 2, Shah Alam yang mengumpul sebanyak 13,172kg bahan terbuang dan tempat ketiga menjadi milik SMK Bukit Jelutong yang mengumpul 10,992kg. SMK Bukit Jelutong juga menerima Anugerah Istimewa kerana berjaya mengumpul sebanyak 205kg aluminium dan membawa pulang wang tunai RM600.

Pengurus Perhubungan Korporat Nasional, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun, melahirkan keterujaan dengan kesungguhan pelajar terbabit dalam menjayakan kempen hijau itu.

"Mereka memberikan contoh terbaik kepada seluruh rakyat negara ini. Kejayaan kempen ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa jika semua bersatu padu kejayaan akan hadir walaupun dilakukan oleh komuniti kecil seperti ini," katanya.

Hadiah-hadiah dalam program tersebut telah ditaja oleh F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. dan Alam Flora Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: