Monday, August 30, 2010

Anggun, segak Batik 1Malaysia




ESOK, seluruh negara antara lain akan dimeriahkan alunan tiga buah lagu yang membangkitkan semangat cinta kepada negara iaitu lagu Negaraku, Keranamu Malaysia dan Jalur Gemilang.

Alunannya lebih bermakna apabila masyarakat di negara ini dapat bersama-sama menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-53 dengan berdiri tegak tanda penghormatan pada Jalur Gemilang yang bakal dinaik dan dikibarkan.

Pada tahun ini, sekali lagi rakyat Malaysia dapat menyaksikan barisan pemimpin negara mengenakan pakaian khas untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Menurut Pengurus Besar Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., (Karyaneka), Zuraidah Abdul Razak, motif yang menonjolkan kemegahan negara iaitu bunga raya telah dipilih untuk diperagakan pada waktu yang paling sesuai.

“Dua rekaan ini dipakai dalam dua acara kemuncak iaitu pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 1 Ogos dan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.




“Kemudian, sepasang lagi akan dipakai pada sambutan Hari kemerdekaan ke-53 di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya ketika ditemui di Butik Karyaneka, Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay baru-baru ini.

Kehalusan rekaan corak batik 1Malaysia telah direka khas oleh sekumpulan pereka dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Diilhamkan dengan terperinci, hasil akhir rekaan tersebut mengambil masa kira-kira dua bulan.

Penggunaan warna terang seperti merah dan biru yang dijalinkan bersama warna kelabu dilihat sebagai suatu yang memberi kelainan. Turut disediakan adalah selendang yang dipenuhi dengan corak bermotifkan bunga raya.

Lebih manis, busana wanita tersebut boleh disempurnakan penampilannya dengan aksesori tambahan klasik seperti kerongsang, anting-anting atau rantai labuh.

Walaupun tidak perlu memakai aksesori sarat, namun disebabkan bajunya polos, tidak pelik jika anda ingin menggayakan aksesori yang lebih glamor. Tambahan pula, tiada sebarang jahitan manik dilakukan untuk menambah perincian busana itu.


RONA kelabu yang lembut dan santai digandingkan bersama merah dan biru.


Ia bergantung kepada kreativiti pemakainya, sama ada untuk menambah sedikit manik di bahagian leher mahupun pergelangan tangan.

Setiap potongan baju tersebut telah dijahit sedondon dengan kemeja lelaki.

“Hanya kain dan selendang yang mempunyai corak, manakala kemeja lelaki pula ada yang menggunakan fabrik linen untuk jahitan lengan pendek.

“Meskipun menggunakan kain linen, motif warisan budaya masih dikekalkan. Cuma baju tersebut tidak nampak terlalu formal seperti baju batik lengan panjang lain yang banyak dalam pasaran,” ulasnya.

Busana wanita menawarkan kain berpotongan pario. Ikatannya yang berlipat di bahagian depan untuk membuatkan penampilan si pemakai bertambah anggun.

Baik digayakan wanita atau lelaki, Batik 1malaysia menampilkan logo yang signifikan. Misalnya, pada busana wanita, logo tersebut terdapat di bahagian hujung selendang dan pakaian lelaki pula ia dijahit di bahagian poket baju.

Identiti kebangsaan

Bukan hanya sebagai penyeri Hari Kemerdekaan, idea untuk merealisasikan rekaan baju Batik 1Malaysia telah dilakukan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

“Selain ingin melihat keselarasan pakaian yang akan dipakaikan pada sambutan tersebut, ia juga mampu mempromosi dan memajukan industri batik Malaysia di persada antarabangsa.


PENAMPILAN segak jejaka dalam persalinan batik yang bercorak motif bunga raya.


“Sebelum ini usaha lain telah dijalankan termasuk menggalakkan pemakaian baju batik Malaysia di kalangan kakitangan kerajaan. Cara sebegitu serba sedikit mempengaruhi pihak luar untuk mengetahui lebih mendalam kehebatan batik,” ujarnya.

Bercerita mengenai konsep rekaan, ia diolahkan kembali bermotifkan kebudayaan dan warisan empat masyarakat dominan dan utama di Malaysia.

“Pelaksanaan dasar Wawasan 1Malaysia memperkukuhkan lagi rasa cinta kepada negara sekali gus mampu mengeratkan hubungan di kalangan kaum Melayu, Cina dan India.

“Tidak lupa juga masyarakat di Sabah dan Sarawak. Jadi prinsip inilah yang dipegang untuk menghasilkan baju Batik Malaysia,” jelasnya.

Motif awan larat yang sering terdapat pada batik dan tenunan songket mewakili kaum Melayu. Daun paisley dan bulu merak pula melambangkan kemegahan budaya kaum India.

“Bagi kaum Cina, bunga pioni dan bunga kapas menghiasi fabrik itu. Gabungan lima warna iaitu merah, biru, hitam, kuning dan putih semestinya menonjolkan elemen bangsa Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, motif kain tenun pua kumbu, iaitu tekstil warisan nenek moyang masyarakat Iban, juga tersemat dalam rekaan batik tersebut.

Menyentuh isu hak cipta corak, Rais memberitahu, ia tidak perlu mempunyai hak cipta yang ketat kerana mereka mahukan fesyen Batik 1Malaysia itu boleh dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

Orang ramai boleh mendapatkan Batik 1Malaysia dari pusat-pusat jualan Karyaneka pada harga antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada jenis kain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: