PADA usia 83 tahun, Datuk Seri Yuen Yuet Leng, menyimpan banyak pengalaman pahit manis dalam perjuangan menentang pengganas komunis.
Pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Perak dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, beliau turut dikenali sebagai perancang yang melumpuhkan gerakan komunis di Tanah Melayu ketika dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.
Beliau dianggap sebagai wira negeri Perak kerana berjaya melindungi Perak daripada jatuh ke tangan pengganas komunis sehingga Perak berjaya diisytiharkan sebagai kawasan putih.
Biarpun telah bersara pada 1984 namun semangat perjuangan bapa kepada seorang cahaya mata ini tidak pernah luntur.Menceritakan pengalamannya ketika menentang komunis, Yuet Leng berkata beliau telah ditembak kali pertama ketika bertugas di Grik.
“Saya telah ditembak di bahu, punggung dan kaki. Ketika ditembak saya tidak berasa sakit langsung, yang ada dalam kepala ialah ingin menyerang komunis habis-habisan.
"Saya bernasib baik kerana pada ketika itu, Kolonel Razali dan Koperal Basri telah melontar bom tangan ke kem komunis bagi menyelamatkan saya daripada terus diserang oleh musuh,” katanya kepada mStar Online di rumahnya baru-baru ini.
Biarpun, dari segi fizikalnya Yuet Leng seorang Cina namun beliau sendiri mengakui bahawa dalam dirinya mengalir jiwa Melayu dan India yang sangat menebal yang mana semuanya berlaku sejak beliau menjadi anggota polis.
“Jika boleh dibelah badan saya pasti anda akan melihat ia terbahagi kepada tiga, Melayu, Cina dan India. Jiwa saya begitu dekat dengan tiga bangsa ini kerana saya banyak belajar memahami adat dan budaya mereka ketika menyertai polis.
“Dalam polis tidak ada istilah bangsa dan kaum. Kami berjuang atas satu pasukan demi mempertahankan Malaya daripada ancaman komunis,” katanya yang pernah menulis dua buku berkaitan darurat dan perpaduan, Operation Ginger (1998) dan Nation Before Self (2008).
Perkara yang paling diingatinya ialah, apabila seorang anggotanya, Koperal Basri meninggal dunia di hadapan mata beliau sendiri, ketika menyelamatkan beliau daripada diserang komunis. “Lebih menyedihkan Basri baru sahaja bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan sebaik sahaja selesai menyertai operasi berkenaan,” kata Yuet Leng sebak.
Bukan itu sahaja, malah beliau juga pernah melalui saat-saat kritikal apabila anak sulungnya, Paulie meninggal dunia akibat demam panas ketika usianya tiga tahun.
“Pada Oktober 1958 saya sedang memberi taklimat kepada pegawai saya mengenai operasi untuk mengintip pergerakan komunis.
"Pada masa yang sama saya sulung saya Paulie sedang nazak kerana menghidap demam panas di Hospital Ipoh. Ketika inilah, saya berbelah-bahagi sama ada untuk tinggalkan tugas sebagai polis atau pulang segera untuk melihat anak saya yang sedang sakit,” jelas beliau.
Sebagai seorang ayah, Yuet Leng mengakui beliau telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya, namun beliau akur akan ketentuan Tuhan dan menerima kematian anaknya sebagai takdir.
“Akhirnya saya ambil keputusan untuk pergi ke hospital dan lihat keadaan anak saya. Paulie seolah tahu saya datang dia membuka mata seketika dan merenung saya pada masa itu. Tidak kurang daripada 10 minit selepas itu matanya terus tertutup rapat dan dia pergi buat selama-lamanya. Saya sangat menyesal dan tidak dapat memaafkan diri saya kerana tidak dapat bersamanya ketika dia sakit,” katanya yang sedih sambil mengalirkan air mata.
Menutup kisah sedih pemergiaan anak sulungnya, ada kisah yang lebih mengejutkan mengenai anak jati Perak ini, apabila selepas 31 tahun barulah doktor dapat menemui adanya peluru tertanam di dadanya.
“Ketika itu saya sedang menjalani pemeriksaan kesihatan kerana saya diminta melanjutkan perkhidmatan selama dua tahun lagi selepas bersara. Ketika itulah doktor berjaya mengesan adanya peluru di dada saya. Oleh kerana peluru itu sudah terlalu lama berada di sana, doktor memberitahu ia sudah sebati dengan otot dan urat saraf saya. Jadi jalan terbaik adalah membiarkan keadannya sedemikian,” katanya.
“Pengganas komunis banyak kali cuba membunuh saya, tetapi saya tidak melarikan diri. Malah, selepas bersara pada 1984 komunis masih mahu membunuh saya. Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar mencadangkan supaya saya berhijrah ke negara lain.
“Pada mulanya saya bersetuju, tetapi kemudian memberitahu Tun Hanif, mengapa saya perlu melarikan diri? Malaysia adalah tempat saya dibesarkan,” katanya sambil menambah, “Kita bernasib baik kerana memiliki pemimpin yang melihat bahawa tidak perlu berlaku pertumpahan darah untuk memperjuangkan kemerdekaan.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: