Monday, August 30, 2010

Jelita pada pagi Syawal


FABRIK polos kian diminati oleh kaum wanita.


BIJAK memenuhi cita rasa wanita, nama Calvin Thoo sentiasa menjadi bualan mereka yang gemar berpenampilan baju tradisional Melayu.

Dengan potongan dan jahitan kemas untuk musim lebaran kali ini, Calvin tampil dengan seleksi busana moden sesuai untuk muslimah yang mahu menata gaya lebih elegan.

Sambil membetulkan baju kurung yang dikenakan model, Calvin menjelaskan, rekaan busananya juga sesuai untuk si jelita menghadiri majlis-majlis makan malam.

"Saya lebih suka membuat potongan bukan hanya sesuai untuk berhari raya malah, boleh digayakan untuk acara rasmi atau protokol.

"Biasanya bagi majlis yang dihadiri golongan atasan, baju kurung yang dipakai mestilah hingga paras bawah lutut manakala baju kurung pendek parasnya harus menutupi punggung si pemakai," terang Calvin yang ditemui di butiknya di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang.

Selain itu, ciri lain yang diterapkan pereka fesyen genit itu termasuklah mengekalkan pemakaian sopan tanpa mendedahkan susuk tubuh si pemakai.


SULAMAN manik bercorak wanita moden.


Jadi bagi fabrik yang jarang, dia akan memastikan busana tersebut turut diletakkan kain alas bersesuaian.

"Baju yang dijahit amat mementingkan ciri keselesaan pemakai supaya tidak terlalu seksi atau menonjol. Maklumlah hari raya mestilah semua mahu kelihatan cantik dan sopan," selorohnya lagi.

Kali ini sebanyak 30 koleksi baju raya Calvin menekankan aspek pengunaan sulaman manik. Tujuannya adalah bagi menonjolkan personaliti menawan kepada si pemakai.

Kebanyakan jahitan manik warna-warni akan menghiasi sudut leher, lengan dan paras labuh busana. Lebih menawan, sulaman manik dan batu permata yang digunakan ke atas fabrik polos.

Disebabkan tiada corak, busana tersebut kelihatan sungguh mewah dan manik yang digunakan juga lebih timbul. Berbeza pula dengan fabrik bercorak, manik yang ditaburkan adalah dalam jumlah terhad.

"Baju kurung bercorak lebih anggun apabila maniknya tidak terlalu banyak tetapi susunannya menarik. Jangan biarkan manik dan fabrik saling menyerlah, nanti imej anda bercelaru," jelasnya yang menawarkan busana hari raya pada harga RM2,500 ke atas.


KAFTAN sentuhan Calvin dijahit mengikut potongan badan si pemakai.


Berbicara soal manik, Calvin sempat menunjukkan hasil jahitan manik yang dipanggil tiga dimensi (3D). Rupa sulaman 3D agak tebal tetapi ringan sekali gus ia selesa apabila dipakai.

Himpunan koleksinya banyak menggunakan fabrik sifon kerana fabrik tersebut amat berkualiti.

Penampilan anda bukan sahaja lebih anggun bahkan, sifon membantu visual pemakainya untuk kelihatan lebih langsing.

Tidak mahu ketinggalan dengan arus fesyen masa kini iaitu kaftan, Calvin turut memberi sentuhan ke atas potongan busana itu.

"Potongan kaftan lebih tajam dan memang dihasilkan mengikut ukuran saiz si pemakai. Sesetengah pereka akan membuat potongan lurus sahaja.

"Itulah kelainan kami dari segi jahitan kaftan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: