Monday, August 2, 2010

Watak Sarah dalam Adamaya bawa tuah

SEKSI dan berani. Itulah gaya yang ditampilkan Chloe Nicole atau lebih dikenali sebagai Sarah dalam drama siri popular Adamaya yang pernah ditayangkan menerusi TV3. Kemunculannya di Balai Berita dengan memakai seluar singkat, baru-baru ini membuatkan ramai menjeling.

pix_middle



Ketika bergambar, Chloe dengan yakin menggayakan aksi 'daring' tanpa perlu diajar. Sememangnya pengalamannya bekerja depan kamera sudah lama kerana sejak usia 16 tahun lagi, dia sudah membabitkan diri dalam bidang modeling di tempat kelahirannya, Sabah.

Walaupun nampak menggoda, janganlah melabelkan dia sebagai gadis murahan. Cloe akui tidak mudah termakan pujukan lelaki miang. Malah, dia juga bukan boleh dibeli dengan wang ringgit. Baginya, apa yang ditampilkan sekarang ialah dirinya yang sebenar.

"Seksi ialah penampilan saya yang biasa. Saya tak kisah nak seksi asalkan bertempat. Saya juga tak kisah apa cakap orang kerana pakaian sebegini membuatkan saya selesa. Saya tetap berbaju dan bukannya berbogel.

"Setakat ini, kawan-kawan rapat serta rakan industri seni faham dengan pendirian saya. Seperti yang saya katakan, saya tidak akan berbogel kalau dibayar mahal macam mana sekalipun. Mungkin satu hari nanti, saya akan ada anak dan saya tak sanggup mereka menerima kesannya," kata Chloe.

Kata Chloe lagi, ketika dia menjadi model dulu pun, memang ada golongan tertentu yang menawarkannya perkara yang bukan-bukan."Ya, keluarga memang berikan saya kebebasan untuk bergerak dan menceburi bidang peragaan tapi mereka berpesan agar berhati-hati menyusun langkah.

"Kalau rasa was-was, saya akan meminta nasihat kawan-kawan sebelum buat sesuatu perkara," katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai latar belakang pembabitannya dalam seni, segala-galanya bermula apabila dia menyertai pertandingan 'cover girl' di Sabah. Dia hadir untuk menjadi peserta, namun sebaliknya diminta menjadi model untuk agensi yang mengambil bahagian.


"Dari situlah orang mula kenal saya dan panggil saya buat pertunjukan di 'runway' dan fotografi untuk majalah di Sabah. Saya tak terikat dengan mana-mana agensi dan bergerak secara bebas. Pada 2008, saya menyertai pertandingan Miss Sabah/Universe Malaysia dan berjaya meraih tempat kedua.

"Selepas itu, saya berhijrah ke Semenanjung untuk belajar sambil bekerja pada hujung minggu. Keluarga tak kisah saya bekerja kerana mahukan saya belajar bagaimana susahnya mencari wang. Saya bekerja sebagai pelayan restoran serta turut aktif dalam modeling.

"Pembabitan dalam drama pula berlaku secara tak sengaja ketika produser Meltrowealth Movies Production (MMP), David Teo berkunjung ke Festival Filem Malaysia (FFM) yang berlangsung di Sabah, tahun lalu. Dia nampak wajah saya dalam satu poster dan tertarik menjadikan saya pelakon drama terbitannya.

"Sebulan selepas itu, saya terus diberikan peluang berlakon filem Senario Asam Garam. Watak saya sebagai gadis Cina bernama May yang menjaga kedai. Saya rasa peminat akan perasan lakonan saya nanti. Selepas itu, saya berlakon pula drama komedi Sood, Chee Yong & Rakan-Rakan terbitan NHF Production untuk siaran RTM.

"Saya diberikan watak Felina, seorang jurubahasa mahkamah sementara peluang berlakon dengan MMP disambung pula dengan drama Adnan Sempit The Series.
Bagaimanapun, tawaran berlakon Adamaya selepas itu paling mencabar kerana saya diberikan banyak scene serta berlakon bersama nama besar seperti Lisa Surihani, Faizal Yusof dan ramai lagi.

"Saya pula tak dikenali dan ketika mula-mula berlakon dengan mereka, saya agak gementar. Namun, Lisa serta semua pelakon banyak membantu. Mereka beri tunjuk ajar mana yang perlu sehingga kami dapat wujudkan keserasian antara satu sama lain. Kru drama ini pun bagus dan anggap saya macam sudah lama berlakon hingga saya berasa selesa," katanya.

Ternyata watak Sarah, seorang gadis baik tapi kelam-kabut dan agak pelat membawa tuah buatnya kerana mengundang keseronokan penonton. Malah, Chloe mengakui peminat mula mengenalinya dan beri maklum balas. Malah, mereka lebih mengenalinya sebagai Sarah berbanding nama sebenar.

"Watak Sarah memang kuat. Apabila berlakon dengan Lisa, saya ingatkan orang tertumpu kepada dia saja, tapi tempiasnya turut terkena pada saya. Sebenarnya penguasaan bahasa Melayu saya OK, cuma ada banyak perkataan yang saya tak faham dan terpaksa ditukar supaya jadi lebih ringkas. Saya lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan kawan-kawan.

"Selepas Adamaya, saya kembali buat modeling kerana terasa rindu pula apabila lama meninggalkannya. Projek terbaru saya berlakon telemovie Takdir yang ditayangkan menerusi slot Cerekarama, Sabtu lalu. Saya akui masih terlalu baru dalam lakonan.

"Jadi saya ingin pelbagaikan pengalaman dalam semua jenis watak. Kalau boleh, saya nak cuba berlakon drama seram serta komedi macam Pisau Cukur. Saya masih menunggu peluang untuk melakonkan watak itu," katanya.

Apabila disentuh mengenai persoalan jodoh pula, gadis lincah ini dengan pantas memberitahu, dia tidak berminat dengan suami orang kerana tidak mahu mengundang masalah. Bagaimanapun, dia mengakui masih terlalu awal untuk memikirkan perkara itu.


>PROFIL
NAMA SEBENAR: Chloe Nicole Saralyn Bimbizagan William Majinbon
TARIKH LAHIR: 31 Disember 1989
ASAL: Kota Kinabalu, Sabah
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma bidang kewartawanan dari Taylors College, PJ
KERJAYA: Pelakon dan model
DRAMA: Sood, Chee Yong dan Rakan-Rakan, Adnan Sempit The Series, Adamaya, Takdir
FILEM: Senario Asam Garam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: