SEBAGAI satu daripada pasangan paling glamor di dunia, tidak ada yang pelik apabila Victoria Beckham muncul sebagai penghias muka depan majalah.
Jika sebelum ini isteri David Beckham itu muncul untuk melariskan Vogue edisi Britain, Jerman, India dan Russia, kali ini dia dipilih sebagai penghias muka depan edisi Turki.
Tampil dengan duduk bergaya ranggi dan seksi di depan kamera, pakaian hitamnya jelas menonjol bersama kasut tumit tinggi.
Jurukamera yang merakam gambar itu adalah Ellen Von Unwerth yang memang terkenal dengan garapan seninya.
Pada 2003, Victoria - ditemani Beckham - pernah menjadi penghias majalah sama untuk edisi Amerika Syarikat.
Bersama kumpulan Spice Girls yang menaikkan namanya, Victoria juga pernah merasai populariti di AS pada 1998.
Cuma, dia belum lagi berpeluang memberikan aksi secara solo bagi majalah Vogue edisi AS.
Victoria memang berkawan baik dengan Ketua Pengarang Vogue, Anna Wintour, sejak bertahun-tahun lalu.
Dalam majalah Vogue edisi Turki bulan ini, Victoria dengan bangganya menampakkan bentuk tubuhnya yang ramping dan menawan di sebalik balutan pakaian dalam, baju renang dan pakaian anggun lain.
Sambil mengenakan pakaian hasil ilham pereka fesyen Turki, termasuk Yildirim Mayruk, Victoria turut beraksi di depan kamera dengan ciptaannya sendiri.Dia memilih koleksi rekaan edisi terhad untuk musim sejuk 2010.
Mengiringi siri gambar itu adalah kata-kata pujian Victoria kepada pereka fesyen Turki kerana melahirkan ciptaan berani dan eksperimental.
Selepas sedekad, Victoria berhak menerima pujian kerana mampu menjalani proses transformasi untuk mengubah dirinya daripada sekadar isteri pemain bola sepak England kepada pereka fesyen kreatif.
Ketika ini dia sedang menyempurnakan urusan bagi mengadakan pertunjukan fesyen peribadi yang mencakupi pelbagai reka bentuk sempena Minggu Fesyen New York, bulan depan.
Bercerita mengenai ciptaannya, Victoria berkata, dia mencuba setiap satu pakaian yang dihasilkan untuk merasai sendiri pengalaman berada dalam balutan fabrik berkenaan.
"Saya mencuba setiap satu ciptaan saya untuk mengenal pasti di masa mungkin ada kekurangan.
"Saya mahu pemakainya di luar sana berasa gembira dan selesa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: