
DETIK-DETIK biasa yang dilalui seharian pasti bisa luput daripada ingatan, namun memori yang sarat dengan nilai sentimental pastinya akan terpahat selama-lamanya.
Pentas akhir peraduan A&W What's your story? yang menemukan 10 peserta terpilih daripada kategori video dan penulisan mecungkil kembali memori-memori indah penggemarnya di restoran itu.
Pelbagai ragam dan gaya penyampaian lisan yang kreatif menarik minat juri dan audiens untuk terus terpaku mendengar kisah peserta final itu.
Mengangkat tema 1Malaysia, Thong Chern Yau, 28, yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000, komputer riba Acer Aspire dan pakej percutian di Berjaya Tioman apabila diumumkan sebagai pemenang utama kategori video memberitahu, ia adalah kemenangan yang tidak terjangka.
"Seperti peserta-peserta lain, saya juga tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi hadiah pertama dalam pertandingan ini. Saya bersyukur kerana aksi spontan rakan-rakan di hadapan lensa video telah menarik perhatian juri," kata jejaka yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu.
Rakaman video beliau berkisar mengenai sambutan hari jadi rakan sekerjanya yang diraikan di restoran A&W. Ia diraikan bersama tiga lagi rakan lain yang turut menampilkan watak yang berbilang bangsa.
Berbeza pula dengan pemenang tempat pertama dalam kategori penulisan, Goh Lin Lin, 39, apabila menyampaikan kisahnya dengan gaya bersahaja dan penuh humor sehingga membuatkan penonton ketawa.
"Itu cara saya. Kisah saya yang santai juga sesuai disuntik elemen lawak jenaka," kata anak sulung daripada tiga beradik yang dilihat penuh berkeyakinan di atas pentas itu.
Kisah wanita yang tampil dengan persalinan kebaya sedondon merah jambu itu sangat menarik. Beliau berkongsi cerita bagaimana perasaannya tatkala melihat beruang maskot A&W buat kali pertama di peti televisyen yang baru dibeli bapanya.
"Hampir setiap minggu saya akan mendesak ibu bapa untuk bertemu beruang tersebut di Kuala Lumpur. Tetapi saya seringkali gagal berjumpanya dan hanya menikmati makanan di restoran A&W sahaja," kata wanita kelahiran Pulau Pinang itu menjelaskan kisah yang mengangkat kemenangannya.
![]() |
| NADIA berkeyakinan menyampaikan kisahnya kepada penonton. |
Bagi Nadia Mohamad Hatta, 26, yang mendapat tempat kedua bagi kategori penulisan, beliau gembira tatkala berpeluang menyampaikan kisahnya di hadapan tetamu yang hadir antaranya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Pengerusi KUB Malaysia Berhad, Datuk Abdul Halim Abdul Samad dan wakil media.
"Menjadi pemenang tempat kedua sudah cukup membuatkan saya gembira apatah lagi, berpeluang berada di pentas bersama-sama sembilan lagi peserta lain untuk berkongsi momen bersama A&W.
"Waktu kecil pastinya sarat dengan saat-saat indah. Kisah yang saya kongsi berlaku ketika berusia lapan tahun dan ia adalah momen yang tidak dapat saya lupakan ketika sedang membesar," ujar pegawai perubatan di Hospital Selayang itu kepada Kosmo!.
Nadia berkongsi kisah mengenai situasi yang dilaluinya 18 tahun lalu. Beliau bijak mengembangkan kisahnya dengan menterjemahkan perasaan seorang kanak-kanak yang sesat di kawasan taman permainan restoran A&W dan dibantu oleh seorang budak lelaki untuk keluar dari situ.
Dengan gaya penyampaian yang bersahaja, Nadia memukau hati juri dan penonton untuk melayakkan beliau memenangi hadiah berupa wang tunai bernilai RM3,000, komputer riba Acer AspireOne dan pakej percutian tiga hari dua malam di Berjaya Tioman.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: