Monday, August 2, 2010

Tiga 'artis besar' kongsi perasaan

Artis berbadan besar sinonim dengan watak-watak komedi dan kadang kala dijadikan bahan jenaka. Tetapi, siapa tahu orang yang berbadan besar juga teringin diberi peranan utama mahupun watak serius.

Tidak cukup dengan bahan jenaka di layar perak, mereka kadang-kala dijadikan bahan jenaka orang ramai mahupun peminat, tanpa memikirkan bahawa mereka juga adalah manusia biasa.

Peluang bertemu dengan tiga bintang ‘besar’, Adibah Nor, Syanie dan Bob AF2 baru-baru ini merungkai keinginan mereka untuk lari daripada watak stereotaip yang pernah dijayakan mereka dan juga perasaan mereka tiap kali dijadikan bahan jenaka kebanyakan pihak.

Bagi Adibah Nor, dia tidak kisah jika ramai yang mentertawakannya setiap kali muncul di kaca TV. Namun masih ada batasan yang perlu dijaga terutamanya ketika di luar waktu dia bekerja supaya tidak mempersendakan bentuk badannya itu.

"Saya memang tidak kisah kalau orang anggap saya pelawak walaupun saya penyanyi. Mungkin saya terlalu comel dan lucu membuatkan orang ramai geram melihat saya di televisyen. Tetapi sebenarnya saya di luar adalah seorang yang serius.

"Ramai juga yang kata saya sombong dan tidak mesra. Memang jujurnya kalau peminat yang datang untuk bermesra secara baik saya akan terima tapi kalau mereka yang tidak dikenali tiba-tiba datang dengan cara yang kurang sopan juga membuatkan saya rasa kurang selesa.

"Ada segelintir yang menjadikan perut saya sebagai bahan lawak. Mereka bergambar sambil memeluk atau menunjuk perut saya, saya tahu itu gurauan tetapi mereka perlu tahu saya juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan,” kata Adibah selepas rakaman program Itu Dia di Finas baru-baru ini.

Seperti mana Adibah Nor, Syanie, juga mempunyai pengalaman yang menjengkelkan bila bertemu dengan peminat. Menurut Syanie, dia pernah digigit peminat kerana terlalu geram dengan saiz badannya.

"Ketika itu saya ada penggambaran di Segamat, Johor, saya didatangi seorang kakak yang ingin bermesra dengan saya. Tiba-tiba kakak itu beritahu dia geram melihat saya dan meminta izin untuk menggigit saya.

"Belum sempat saya berkata apa-apa, dia telah menggigit tangan saya sekuat hatinya sampai meninggalkan lebam selama seminggu. Ketika itu juga saya menangis mengadu kepada ibu saya sebab sakit sangat,” ujarnya sambil ketawa mengenangkan peristiwa tersebut.

Akui tidak terlalu selesa dengan saiz badannya itu, Syanie telah menjalani pembedahan usus pada tahun lalu. Namun itu bukanlah alasan untuk kelihatan cantik, sebaliknya tahap kesihatannya terlalu teruk dan disarankan doktor agar menjalani rawatan tersebut.

"Dulu berat badan saya 204kg dan mendatangkan banyak masalah kesihatan kepada saya. Saya sering sesak nafas dan cepat penat. Untuk keluar membeli-belah atau memandu kenderaan pun saya tidak mampu kerana cepat penat.

"Kini dengan berat badan 127kg saya menjadi lebih sihat dan segala masalah kesihatan yang saya alami sebelum ini beransur-ansur pulih. Saya selesa dengan bentuk badan sekarang dan tiada niat untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih kecil,” jelas Syanie yang kini semakin ceria.

Sementara itu, bagi Bob AF2, dia juga tidak terkecuali dari menjadi bahan lawak. Namun secara jujunya, dia gembira dengan dirinya, dan tidak pernah terfikir untuk menguruskan badannya.

”Saya selesa dengan berat badan kini, ramai juga yang menyuruh saya diet dan jadi seperti Aizat tetapi saya rasa tidak perlu. Saya juga banyak ditawarkan melakonkan watak-watak komedi kerana saiz saya yang comel ini.

”Tapi jauh di sudut hati saya teringin untuk bawa watak-watak yang serius jika diberi peluang. Tapi saya tahu ia bukan mudah sebab jika kami keluar sahaja watak serius pasti bertukar menjadi watak komedi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: