Mohd Firdaus nikah dengan anak guru silat
PADANG BESAR: Penuntut Universiti Al-Azhar yang dilaporkan gagal dikesan sejak 17 hari lalu selepas dikatakan dibawa lari seorang guru silat untuk dinikahkan dengan anak gadis lelaki itu, disahkan berkahwin petang kelmarin.Mohd Firdaus Mohd Fuzi, 27, dikatakan melangsungkan perkahwinan bersama Zuraida Zubir, 24, yang juga anak guru silat itu pada jam 6.30 petang iaitu sehari lebih awal berbanding tarikh asal yang dijadualkan iaitu semalam.Difahamkan, selain Firdaus dan pasangannya, turut melangsungkan perkahwinan dalam majlis ringkas yang dihadiri keluarga pengantin perempuan ialah seorang lagi anak gadis kepada guru silat terbabit, Zakira, 17, bersama pasangannya yang baru berusia 19 tahun.
Kedua-dua pasangan terbabit dinikahkan sendiri guru silat berkenaan, Zubir Mat Isa, 47, dengan mas kahwin RM50.
Zubir ketika ditemui, mengesahkan perkahwinan Firdaus dan Zuraida dengan disaksikan Imam I Masjid Ngulang, dekat Mata Ayer, namun menafikan melarikan pelajar itu serta memaksanya berkahwin dengan anaknya.
Beliau berkata, hasrat berkahwin terdetik dari hati Firdaus sendiri tanpa dipaksa mana-mana pihak seperti yang didakwa keluarga pelajar itu.
“Saya tidak pernah memaksa Firdaus untuk menikahi Zuraida, kerana dia sendiri yang menyuarakan hasrat berbuat demikian kepada saya. Malah, dakwaan mengatakan saya melarikan Firdaus daripada keluarganya tidak benar sama sekali,” katanya.
Mohd Firdaus yang bercuti di Perlis sempena cuti semester dilaporkan hilang sejak 16 Julai lalu, selepas bertemu dengan seorang guru silat di pejabat Pertubuhan Darul Islah, di sini.
Difahamkan, dua laporan polis di Balai Polis Arau dibuat selepas usaha menemui dan menghubungi Mohd Firdaus gagal, iaitu masing-masing pada 27 dan 30 Julai lalu.
Sementara Mohd Firdaus yang ditemui ketika hadir ke Balai Polis Padang Besar, enggan memberikan sebarang komen berhubung kejadian terbabit.
Bagaimanapun, dia dilihat terkejut apabila terserempak dengan bapanya, Mohd Fuzi Mohd Zain di perkarangan balai polis terbabit, sebelum satu perbincangan dilakukan untuk menyelesaikan kesulitan itu.
Sementara itu, Mohd Fuzi, ketika ditemui mengaku lega dapat bertemu semula dengan Firdaus selepas lebih 17 hari gagal menghubunginya.
“Saya gembira dia selamat, namun saya kecewa kerana perkahwinan antaranya dengan anak gadis guru silat itu diteruskan, walaupun mendapat tentangan keluarga kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: