Tuesday, August 24, 2010

‘Tahanan’ Kongsi Pengalaman Pahit

Sebahagian warga asing yang ditempatkan sementara di Holding Lounge.

KATRINA, 19, berasal dari Kazakhstan merupakan pelajar Ijazah Sarjana jurusan Pengurusan Perniagaan di salah sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Sekembalinya ke negara ini selepas cuti semester, dia ditahan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana menggunakan pasport hampir tamat tempoh.

Dengan nada kecewa, dia tidak menyangka masalah itu menyebabkan dirinya terpaksa merasai pengalaman bermalam di Holding Lounge (HL) KLIA.

“Saya di sini hampir seminggu. Sepanjang tempoh ditahan, saya berasa sangat terseksa kerana tidak pernah terfikir perkara ini akan berlaku pada diri saya.

“Keadaan di sini seperti biasa tetapi saya berasa lemas kerana berada dalam dinding kaca bersama warga asing lain. Saya terganggu,” ujarnya.

Menyanyi seorang diri mengubat kebosanan yang melanda dirinya sementara menunggu waktu penghantaran pulang melalui penerbangan seterusnya.

Katrina berkata, dia tidak mempedulikan sekiranya nyanyian itu menganggu ‘penghuni’ lain yang pastinya masing-masing dalam keadaan tertekan.

Menurutnya, kesedihan itu amat dirasainya maka dia cuba hilangkan perasaan itu dengan menyanyi lagu-lagu berunsurkan positif.

Difahamkan, dia disenarai hitamkan yang tidak membenarkannya memasuki Malaysia bagi tempoh antara 2 Julai 2010 sehingga 1 Julai 2013.

Sementara itu, Abdullah dari Bangladesh mahu masuk ke negara ini semata-mata mahu menuntut hutang sejumlah RM8,000 daripada bekas majikannya.

Namun dia yang berusia 32 tahun bernasib malang apabila dia disekat kerana disyaki menggunakan visa palsu.

Dia terpaksa ditempatkan di HL yang merupakan pengalaman sulungnya sejak dia bekerja di negara ini tujuh tahun dulu.

“Saya tidak sangka ejen sanggup menipu kononnya mahu bantu mendapatkan visa untuk ke Malaysia. Namun saya akur, apa yang berlaku itu salah,” jelasnya.

Kunjungan Abdullah itu merupakan percubaan kali keduanya untuk menuntut hutang daripada bekas majikan yang sering menaburkan pelbagai janji palsu.

Bagi Singham, 35, yang berasal dari India, pengalaman mengunjungi Malaysia pasti akan diingatinya sampai bila-bila.

Manakan tidak, dia bukan saja pertama kali menjejakkan kaki ke negara asing bahkan merasai ‘pengalaman’ pertama dikenakan sekatan.

Semuanya gara-gara dia tidak mempunyai tiket penerbangan balik yang merupakan antara syarat utama kemasukan ke negara ini.

Dia juga didapati tidak mempunyai wang perbelanjaan yang mencukupi untuk menetap di Malaysia malah tidak dapat menampung tiket balik ke India.

Segala-galanya bermula apabila Singham mendengar pelbagai kisah menarik mengenai negara ini yang diceritakan oleh rakan-rakan yang pernah bekerja di sini.

“Ada antara kenalan yang datang bekerja di Malaysia dan mempunyai pendapatan yang boleh dibanggakan di kalangan kami yang hidup dalam kemiskinan di kampung halaman.

“Semakin lama, saya semakin terdesak untuk turut serta menjejakkan kaki ke sini lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan rakyat Malaysia meminati filem-filem Bollywood,” katanya.

Status bujang dan hidup berjimat memudahkannya membuat simpanan bagi memastikan impiannya tercapai.

Walaupun wang simpanan masih belum mencukupi tetapi Singham dimaklumkan oleh seorang rakan agar tinggal di rumah rakannya di Kuala Lumpur dan kemudian mereka boleh mencari pekerjaan sementara untuknya bagi mendapatkan perbelanjaan tambahan.

Bukan semua warga asing yang disekat ditempatkan sementara di Holding Lounge KLIA kerana mereka dikenakan sekatan masuk di negara ketiga.

Monica, 20, yang merupakan atlet Kenya dikenakan sekatan sewaktu ketibaannya di Singapura dari Malaysia dan kes seumpama dikenali sebagai deportee iaitu imigran larangan yang menjadikan negara ini sebagai transit.

Katanya, dia tidak bercadang untuk menetap di Singapura tetapi hanya mahu mendaftar dalam satu acara sukan di negara itu.

“Saya dimaklumkan sekatan dilakukan kerana saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk berbelanja.

“Tujuan ke sana (Singapura) sama seperti yang saya buat di Kuala Lumpur iaitu menyertai sukan. Saya bukan mahu melancong dan berbelanja besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelancong dari Nigeria, Mose, 22, diragui status kemasukan menyebabkan dia tidak dibenarkan melepasi pintu masuk di KLIA.

Dia ditahan apabila tidak dapat menjawab soalan pegawai imigresen destinasi tujuan dia di Malaysia.

“Saya hanya beli tiket penerbangan. Namun saya mulai bertanya kepada penumpang dalam pesawat mengenai tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur untuk dilawati.

“Saya dimaklumkan Malaysia merupakan destinasi pelancongan menarik. Jika saya berpeluang berjalan-jalan di KL sudah tentu dapat melihat semua itu,” katanya.

Amin, 39, warga Pakistan disyaki akan menetap lebih tempoh di negara ini.Lebih meragukan apabila dia yang tiba di KLIA pada Khamis lalu hanya mempunyai RM300 bagi ‘percutian’ sehingga Oktober.

Dia datang ke Malaysia bersama tiga rakannya dan kesemuanya turut dikenakan sekatan di pintu masuk.

“Saya hanya mempunyai RM300, tetapi rakan-rakan ada banyak wang. Boleh gunakan wang mereka untuk belanja,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: