Tuesday, August 24, 2010

Pelawat Terpedaya Dengan Sindiket Visa Palsu

Shahul Hamid Abd Rahim

SEBAHAGIAN daripada pelawat asing yang ditahan di bilik tahanan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Holding Lounge (HL) disyaki mempunyai pasport atau visa palsu tanpa pemilik pasport itu sendiri menyedari bahawa mereka menjadi mangsa sindiket walaupun terdapat kes-kes tertentu yang menyaksikan mereka sendiri memalsukan pasport untuk datang ke sini.

Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abd Rahim (gambar) berkata, mereka hanya memaklumkan visa itu diperolehi secara salah selepas ditahan daripada memasuki negara ini.

“Kami sukar mengenal pasti dalang yang menganiaya mangsa kerana ia membabitkan proses pemalsuan visa atau dokumen perjalanan di negara asal mangsa.

“Mangsa begitu mudah diperdaya oleh ejen kerana apa yang penting bagi mereka ialah peluang untuk memasuki negara ini,” katanya.

Warga asing terbabit diperdaya oleh sindiket dengan menjanjikan tawaran peluang pekerjaan di Malaysia tanpa mereka menyedari atau mengetahui pekerja asing perlu mendapatkan permit khusus.

Shahul berkata, ini kerana apabila disebut nama Malaysia, mereka mengetahuinya sebagai negara yang menjadi ‘lubuk rezeki’.

“Imej ini menyebabkan mereka mudah mempercayai ejen sehingga sanggup melaburkan sejumlah wang yang besar untuk ke negara ini tetapi akhirnya berputih mata kerana tidak dibenarkan masuk kerana memiliki dokumen perjalanan yang meragukan,” katanya.

Mengenai penggunaan pasport atau visa palsu tetapi terlepas sehingga ke KLIA, Shahul menyifatkan kejadian itu disebabkan pengurusan pelepasan di negara asal mereka.

“Mereka (pengurusan) di sana tidak mempunyai kuasa untuk mengatakan visa untuk Malaysia sama ada sah atau palsu menyebabkan ramai yang ‘terlepas’ keluar dan tiba di sini dengan harapan mereka juga akan melepasi kawalan imigresen Malaysia.

Beliau menambah, penguatkuasaan dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan polis di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: