Tuesday, August 24, 2010

Resipi Minang sebagai warisan


AZIZAH mewarisi resipi masakan Minang daripada nenek, ibu dan rakan-rakannya.


KAMU belum tentu senang esok.” Itulah kata-kata ibu yang sehingga kini menjadi pegangan Azizah Abdul Majid, 69.Membesar sebagai seorang anak wakil rakyat di negeri Perak sekitar 19 50-an bukan alasan kepada beliau untuk menjadi seorang yang manja.

Sebaliknya, Azizah dilatih berdikari supaya beliau tidak susah pada kemudian hari.Walaupun mempunyai beberapa orang pembantu rumah, ibu beliau tetap menggalak dan mengajar Azizah menyediakan juadah serta membuat biskut sendiri.

“Pada umur saya tujuh tahun saya sudah tahu memasak beberapa jenis hidangan. Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, ibu banyak mencurahkan ilmunya kepada saya,” jelas Azizah ketika ditemui Kosmo! di kediaman beliau di Taman Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini semangat yang dicurahkan ibunya di samping minat yang mendalam dalam masakan telah meletakkan wanita yang mempunyai seorang anak lelaki dan lima cucu itu pada satu tahap yang boleh dibanggakan. Hari ini Azizah berjaya menerbitkan sebuah buku masakan berjudul Masakan Minang.

Kepada bekas guru yang telah berkhidmat selama lebih 33 tahun itu, dorongan menghasilkan buku yang mengandungi 43 resipi lauk-pauk, sambal, sayur, serta kuih dan kek itu datangnya daripada ahli keluarga dan rakan-rakan beliau.

“Melihatkan cucu-cucu saya menunjukkan minat dalam bidang masakan terdetik di hati saya untuk meninggalkan sesuatu sebagai rujukan kepada mereka setelah ketiadaan saya kelak.

“Rakan-rakan juga sering meminta resipi masakan Minang daripada saya. Justeru, ia menyuntik semangat untuk saya menghasilkan sebuah buku resipi masakan. Tambahan pula sahabat-sahabat di Utusan Melayu juga banyak mendorong,” jelas anak kelahiran Bidor, Perak itu lagi.

Berkongsi keistimewaan buku Masakan Minang, Azizah berkata, buku itu mengandungi menu-menu yang telah dipelajarinya daripada ibu, opah (nenek), saudara-mara dan rakan-rakan sejak berumur tujuh tahun lagi.

“Sebelum ini resipi-resipi itu yang saya tulis atas kertas kadang-kadang hilang dan kebanyakannya adalah hidangan yang saya hasilkan untuk keluarga,” jelasnya.

Semasa menyiapkan hidangan tersebut untuk sesi fotografi, Azizah dibantu oleh suaminya serta pembantu rumah. Namun, tempoh dua minggu yang diberikan untuk menyiapkan kesemua resipi tersebut untuk didokumentasi dalam sesi fotografi menyebabkan Azizah mengakui tidak menang tangan.

“Memang letih untuk menyiapkannya. Atas bantuan mereka saya gagahi juga. Namun penat lelah saya berbaloi kerana impian untuk berkongsi petua masakan telah tercapai,” katanya.

Mengapakah Azizah memilih buku Masakan Minang?

“Bukan semua resipi dalam buku ini adalah masakan Minang, tetapi kebanyakannya adalah mengikut selera Minang.

“Biarpun lahir di Perak, keluarga saya masih berpegang kepada hidangan Minang kerana ayah adalah daripada keturunan Minang selain ibu berketurunan Rawa.

“Tempoyak ikan lele, rendang opah dan ayam goreng Minang antara hidangan istimewa yang terkandung dalam buku ini,” jelasnya yang turut mendapat sokongan padu daripada suami tercinta.

Dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia dan Sukan Perak, Zainol Fadzi Paharudin, pada 12 Disember tahun lalu, buku Masakan Minang nyata meninggalkan kenangan indah buat Azizah.

Naskhah setebal 94 muka surat tersebut yang kini berada di pasaran boleh didapati di MPH Bookstore dan gedung-gedung buku pada harga RM33 senaskhah. Buku itu diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: