Tuesday, August 3, 2010

Status intai peluang




Sungguhpun industri muzik tempatan kini dilambakkan dengan ledakan pengaruh muzik indie, sebuah kumpulan baru, Status pula menongkah arus mempertahankan genre muzik rock perlahan yang lebih melankolik.

Dianggotai oleh empat ahli iaitu Yojie selaku gitaris, Ajeed (vokal), Muiz (bass) dan Fariq (drum), hakikatnya kumpulan ini telah lapan tahun mencari tapak untuk mula dikenali di arena arus perdana.

Memulakan langkah seni dengan nama Fly, kumpulan yang menyertai pertandingan Battle of Band 2007 itu bagaimanapun membuat penjenamaan semula kumpulan mereka dengan menyenaraikan dua anggota baru iaitu Ajeed dan Muiz seterusnya memperkenalkan diri sebagai Status.

Mereka empertaruhkan dua single iaitu Cinta Yusarima dan Suka yang dirakam pada Disember tahun lalu dan kini sudah mula kedengaran di corong-corong radio tempatan.

Cinta Yusarima misalnya, telah dicipta sejak lapan tahun lalu. Namun baru kini lagu tersebut beroleh peluang untuk diperdengarkan kepada peminat mereka.

Mewakili Status, salah seorang anggotanya iaitu Yojie memberitahu, disebabkan setiap anggotanya mempunyai pekerjaan sendiri dan penantian selama empat tahun daripada pelbagai label yang masih belum menampakkan hasil positif antara punca Cinta Yusarima tertangguh untuk diperkenalkan.

Dek kerana sukar mendapat kerjasama daripada mana-mana label rakaman dan juga radio tempatan, Status mengakui pernah berputus harap.

Namun, kejayaan tidak datang bergolek. Peluang membuat persembahan di Laman Santai, Istana Budaya beberapa bulan lalu ternyata meningkatkan kembali keyakinan mereka.

"Tak sangka ketika kami membuat persembahan, ramai pengunjung yang hadir meminta kami menyanyi lagu Cinta Yusarima.

"Kami pada awalnya menyangka tiada peminat yang mengenali kami, kembali yakin untuk aktif dalam bidang nyanyian.

"Sejak hari tersebut keyakinan kami meningkat 300 peratus, cuma kami tidak tahu bagaimana caranya untuk mencari jalan memasarkan produk kami," katanya.

Selesa membawakan muzik slow rock, jelas Yojie, ketika kumpulan mereka ditubuhkan lapan tahun lalu, genre sedemikian ternyata cukup kuat malah lagu-lagunya tidak lapuk dek hujan.

Di bawah syarikat Conteng Art & Design, kedua-dua lagu yang dihasilkan oleh Yojie sementara liriknya oleh Fariq itu diterbitkan.

Menyedari ramai yang mengatakan konsep mereka seakan melawan arus, namun mereka yakin dengan kebolehan dan penerimaan peminat terhadap genre tersebut.

"Melawan arus memanglah ada risikonya. Kami juga terus terang berasa risau. Bagaimanapun bagi kami membawakan muzik slow rock yang ternyata boleh didengar sepanjang masa risikonya tidaklah terlalu besar.

"Malah, kami langsung tidak kisah jika ada mana-mana pihak yang mahu melabelkan muzik kami sebagai muzik kampung.

"Asalkan kami selesa dengan apa yang kami lakukan dan terpulang pada peminat untuk menilainya," kata Fariq pula.

3 comments:

  1. band ni dah pun berpecah,baru aje nak naik,dgr cite pemain drum dan bassist menganggotai kumpulan LEON

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. go.....go.....status i support you guysss.........

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: