Tuesday, August 3, 2010

Idham sedia disiasat SPRM




Kontroversi pelantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan David Teo dalam Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) masih belum berkesudahan.

Rasa tidak puas hati terhadap dua penerbit filem itu disuarakan oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) melaluinya ahli-ahlinya pada mesyuarat persatuan tersebut April lalu.

PFM antara lain mendakwa pembabitan David dan Ahmad Idham dalam Finas bukan untuk memperjuangankan industri perfileman tetapi ia lebih kepada menjaga kepentingan mereka.

David yang merupakan penerbit syarikat produksi MIG Production dan Ahmad Idham selaku penerbit Excellent Pictures Sdn. Bhd. pula pada masa sama dikatakan mempunyai konflik kepentingan.

Ia antaranya membabitkan soal pengedaran, pemeran dan penerbitan filem yang membabitkan pengaruh di kalangan Ahli Lembaga Pengarah Finas termasuk Ahmad Idham dan David.

Bagi mencari kebenaran, Ahmad Idham yang lebih mesra dengan panggilan Idham berkata beliau sanggup disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar menyalahgunakan kuasanya di Finas.

"Saya berani tampil ke depan untuk disiasat oleh SPRM kalau betul ada tuduhan mengatakan saya menyalahgunakan jawatan saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas.

"Saya terima jawatan itu sebagai amanah daripada Menteri yang telah melantik saya," katanya pada pertemuan dengan Mega di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pertikaian pelantikan itu ditimbulkan oleh PFM berdasarkan Akta 244 Finas pada Seksyen 14 (1) menyebut 'tiada seseorang boleh dilantik sebagai ahli, pegawai atau penjawat.

'Atau sebagai ahli jawatankuasa perbadanan jika ia ada mempunyai apa-apa kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam- a) mana-mana orang, badan, perbadanan.

'Atau syarikat yang menjalankan atau mengambil bahagian dalam, atau yang berkira-kira untuk menjalankan atau mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti atau apa-apa gabungannya'.

Dalam erti kata mudah, isunya ialah pelantikan Idham dan David dipersoalkan kerana mereka aktif menerbit atau mengarah filem melalui syarikat masing-masing.

PFM pada sidang akhbarnya 20 Julai lalu menjelaskan tentang memorandum yang dihantar kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sayangnya, persatuan itu mendakwa selepas memorandum bantahan pelantikan Ahamd Idham dan David itu dihantar kira-kira tiga bulan lalu tetapi ia belum mendapat maklum balas.

Lebih menghangatkan keadaan apabila Idham juga dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Pengarah Finas baru bagi menggantikan Mohd. Mahyidin Mustakim yang akan tamat kontraknya pada 16 Ogos ini.

Khabar angin mengatakan Idham merupakan antara nama yang disebut bakal menggantikan Mohd. Mahyidin.

Malah Idham sendiri tidak menafikan pernah ditawarkan jawatan itu tetapi belum memberi keputusan.

"Sebelum ini saya memang pernah ditawarkan jawatan itu tetapi saya terpaksa memikirkannya berkali-kali kerana ia suatu jawatan dan tanggungjawab berat harus dipikul.

"Saya amat menghargai akan kepercayaan pihak kementerian terutamanya Dr. Rais akan kemampuan dan pengalaman saya. Apa pun saya akan fikirkan tentang perkara itu," jelasnya.

Namun, pengarah filem Adnan Sempit yang meraih kutipan tiket RM7.6 juta ketika tayangannya berkata, dia pasrah jika ditakdirkan dipilih menjawat jawatan tersebut.

Malah, Idham juga tidak teragak-agak untuk melepaskan kepentingannya sebagai pengarah dan penerbit filem jika dilantik sebagai Ketua Pengarah Finas.

"Saya tidak mahu ulas lanjut isu pelantikan Ketua Pengarah Finas kerana ia adalah keputusan Dr. Rais Yatim. Malah, isu yang timbul sekarang bukan soal jawatan Ketua Pengarah Finas.

"Sebaliknya, ia tentang pertikaian pelantikan saya dan David dalam Lembaga Pengarah Finas.

"Jadi, walau siapapun yang jadi Ketua Pengarah Finas, orang itu harus terima hakikat.

"Antaranya orang itu harus melepaskan semua jawatan dan kepentingannya di luar.

"Itu jelas kerana jawatan Ketua Pengarah Finas mempunyai kuasa eksekutif," tuturnya berterus terang.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, dia menyertai Finas kerana mahu mencurahkan idea, tenaga dan masanya bagi membangunkan industri perfileman tanah air.

Sambil menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia menerima tawaran sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas kerana mahu meluaskan lagi pengaruh dan perniagaannya.

"Jawatan saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah tiada apa-apa kuasa eksekutif. Saya hanya hadir mesyuarat dan memberi pandangan untuk kemajuan industri ini.

"Kalau ada yang kata saya mahu mencari keuntungan di Finas, saya sudah lebih dulu berjaya dan kaya sebagai pengarah serta penerbit filem sebelum saya menyertai Finas lagi," tegasnya.

Beliau turut hairan dengan tuduhan yang dilemparkan mengatakan dengan menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas dia tahu banyak rahsia sulit syarikat-syarikat produksi yang lain.

"Adakah kalau saya tahu rahsia para penerbit lain melalui jawatan saya di Finas maka saya boleh buat filem yang bertaraf box-office? Saya masuk Finas selepas filem-filem saya box-office," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: