Ning Baizura
SESUDAH enam tahun tidak muncul dengan sebarang album Melayu, Ning Baizura kini bersiap-sedia untuk memeriahkan industri muzik tempatan bersama buah tangan terbaru, yang dijangka berada di rak pasaran muzik seluruh negara selepas Aidilfitri.Buat saat ini, peminat mula berhibur bersama single pertamanya, Mama Papa, yang saban hari diputarkan di radio. Lagu berentak rancak ciptaan Audi Mok dan lirik Ad Samad itu cukup berlainan, seterusnya memberikan gambaran awal produk terbaru Ning itu nanti menyajikan sesuatu yang berbeza.Sehingga kini, sebanyak lapan lagu sudah pun dirakam, manakala beberapa lagu lagi sedang dalam pembikinan. Diterbitkan keseluruhannya oleh Audi dan Ning, antara judul yang dimuatkan dalam album itu ialah Propaganda, Sampai Bila, Pencarian dan Alhamdulillah.
"Jika dilihat kepada judul lagu berkenaan, ia seakan memberikan gambaran terhadap segala macam pengalaman yang saya alami dalam kehidupan. Daripada perbicaraan mengenai anak-anak dan keluarga, suka duka sebagai artis, keinginan mencari cinta dan kasih sayang sebenar sehinggalah kepada kesyukuran, semuanya dirakam untuk kepuasan diri dan peminat.
"Secara ringkas, album ini memaparkan Ning Baizura yang lebih matang menerusi lagu dan lirik yang dihasilkan. Muzik rancak kali ini nyata tidak sama dengan apa yang pernah saya hasilkan. Begitupun, untuk lagu lebih perlahan, elemen balada Ning tetap kedengaran," katanya yang turut menulis sendiri lirik lagu Propaganda.
Sambil memperdengarkan beberapa lagu termasuk Sampai Bila, Ning mengaku, lagu berentak perlahan itu antara trek kesukaannya.
"Menerusi Sampai Bila, saya menyanyi dengan lebih bebas dan tenang. Inilah sisi mentah tetapi segar yang belum peminat dengar. Ketika rakaman dilakukan, saya hanya menyanyi begitu saja, tanpa ada sebarang ad-lib. Jika peminat sudah mengenali saya dengan suara soprano, kali ini mereka akan mengenali saya dengan suara yang lebih segar," katanya.
Jelas Ning, walaupun mengambil masa yang lama untuk muncul dengan sesebuah album, dia tidak pernah berasa terdesak. Sebaliknya Ning mahu orang ramai lebih memahami dan mengenali dirinya, setiap kali dia tampil bersama sesebuah album.
Sebagaimana album barunya nanti, dia ingin sekali peminat berasakan sama perjalanan hidupnya sebagai anak seni, ketika masih sendirian sehingga bergelar isteri, serta menerima segala kelemahan dan kekurangan diri yang dimiliki.
"Setidak-tidaknya, album ini diharap menjadi sesuatu yang cukup berbaloi untuk dimiliki, selepas sekian lama menanti," katanya yang kini sibuk menguruskan Dewan Muzik Selebriti yang turut menjadi medan persembahan artis terkenal tanah air.
Idam akademi muzik tradisional
SEJAK dulu lagi, Ning menggemari irama dan muzik Melayu tradisional. Cuma, peluang untuknya mempelajari, seterusnya mendalami muzik berkenaan tidak pernah datang. Sebaliknya, karier seninya menyerlah menerusi sentuhan muzik bersifat moden dan kontemporari.
Lalu, tidak hairan apabila jauh di sudut hati penyanyi ini, tersimpan niat untuk kembali mendekati muzik lama terbabit. Bukan bergelar sebagai murid, tetapi Ning berhasrat menubuhkan sebuah akademi yang membantu mengajar kanak-kanak mempelajari muzik tradisional seperti kompang, gamelan, gambus, serunai dan sebagainya.
"Jika diizinkan, saya ingin memulakan akademi itu pada penghujung tahun ini juga supaya kanak-kanak terbabit boleh ditampilkan dalam konsert saya pada Julai tahun depan," kata Ning yang mengaku mempunyai beberapa teman yang bersedia menjadikan impiannya itu satu kenyataan.
Menurut penyanyi Curiga ini, berikutan dirinya sendiri tidak mempunyai peluang untuk mempelajari seni muzik Melayu tradisional suatu ketika dulu, kini dia ingin berkongsi keinginan itu bersama kanak-kanak lain di Malaysia.
"Ramai di kalangan kita yang sedar, betapa muzik tradisional ini sebenarnya mempunyai elemen yang boleh dikomersilkan," katanya yang berharap dapat membina sebuah sekolah kecil terlebih dulu, sebelum akademi itu dikembangkan sedikit demi sedikit menjadi pusat pembelajaran muzik yang lebih besar.
Katanya juga, sehingga kini belum ada buku teks yang boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak mempelajari muzik berkenaan.
"Namun saya percaya, kita mempunyai asas yang kuat, yang boleh dijadikan sukatan pelajaran. Saya ingin pelajaran muzik itu bermula dari kosong, seperti dari peringkat mari mengenali kompang, sehinggalah bagaimana seseorang pelajar mampu mempelbagaikan penguasaan ke atas alat muzik terbabit," katanya.
Selain impian melihat generasi akan datang lebih menghargai serta menyayangi muzik lama, artis ini melahirkan keinginan untuk beraksi di pentas teater Melayu pula selepas menjayakan Shout! The Mod Musical yang dipentaskan di KLPac, baru-baru ini.
Katanya, beraksi dalam pementasan teater sememangnya memberikan kepuasan yang nyata berbeza. Penonton memberikan reaksi mereka secara serta-merta, tidak kiralah mereka menyukainya ataupun sebaliknya.
"Saya ingin berlakon dalam lebih banyak muzikal selepas Shout! Ia membuatkan saya berasa begitu puas apabila melihat penonton gelak, sedih dan sebagainya di bawah pentas.
"Baru-baru ini, sebaik saja tamat persembahan, seorang penonton wanita dalam usia 60-an datang kepada kami. Dia menangis di bahu kami kerana baginya, muzikal itu mengingatkannya kepada kakaknya yang sudah sekian lama tidak dihubungi. Keajaiban seperti inilah yang saya inginkan, apabila menjayakan sesuatu pementasan," katanya.
Ujar Ning, seandainya dia diberikan naskhah skrip yang baik, sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris, yang membolehkannya menjadi insan lebih kreatif serta mampu menghulurkan sedikit pengajaran kepada penonton, maka tentu sekali dia akan beraksi lagi.
Sebelum melihatnya berlakon dalam teater seterusnya, Ning akan menghiburkan penonton terlebih dulu menerusi lakonannya dalam filem Magika yang akan ditayangkan September ini. Dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu, Ning memegang watak Puteri Gunung Ledang yang sungguh melucukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: