![]() |
| PARA peserta Program Pembangunan Sime Darby LPGA Malaysia bersama jurulatih Koe Lai Yin (baju hijau). |
GOLF mungkin antara sukan yang kurang mendapat perhatian di negara ini. Sebab itu berita tentangnya jarang mendapat tempat di media tempatan.
Tetapi realitinya, ini merupakan antara sukan yang mampu menonjolkan imej negara terutama dari segi pelancongan.
Di Amerika Syarikat sahaja urus niaga berkaitan dengan golf saban tahun melebihi daripada apa yang diperolehi oleh industri perfileman di Hollywoods.
Sebab itu program pembangunan pemain muda sangat penting dan perlu dalam usaha melahirkan pemain golf berkaliber negara di pentas dunia.
Sempena dengan kejohanan sulung Sime Darby LPGA Malaysia Oktober ini, syarikat promoter sukan IMG dan konglomerat tempatan Sime Darby telah melancarkan Program Pembangunan Sime Darby LPGA Malaysia.
Program selama lapan minggu itu dengan kerjasama Akademi Golf KLGCC bermatlamat melatih pemain golf wanita Malaysia untuk menjadi yang terbaik.
Program pembangunan itu membabitkan sesi latihan yang adakan lima hari seminggu di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) oleh jurulatih.
Ia juga membabitkan latihan di luar lapangan yang membabitkan psikologi, fizikal dan pengetahuan mengenai fizikal ketika latihan.
Sesi dalam kelas akan meliputi topik seperti persediaan fizikal, fisioterapi, diet dan khasiat pemakanan, kekuatan dan regangan serta pemahaman kardiovaskular.
Latihan golf intensif pula menumpukan kepada mempertingkat dan membaiki permainan dekat, putting dan pukulan drive.
Terdpat juga sesi khas bertujuan untuk membina kekuatan psikologi para pelatih.
Pelatih akan dilatih akan keperluan untuk sentiasa fokus, ketahanan mental, keyakinan diri, dominasi dan lain-lain sikap yang ada pada pemain bertaraf dunia.
Semua pemain golf yang terlibat dalam program ini juga akan melalui penilaian mental dan emosi secara khusus oleh Golfpsych Inc. dari Amerika Syarikat.
Jurulatih jemputan, Ian Triggs dari Australia, ang melatih pemain jelajah profesional seperti Karrie Webb dan John Sendon, juga akan terbabit selama dua minggu dalam program itu.
Dia akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan para peserta.
Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Tunku Putra Badlishah berkata, program itu merupakan sebahagian daripada sokongan leh konglomerat itu kepada pembangunan sukan golf wanita di negara ini.
“Kami melihat program pembangunan ini sebagai asas untuk mengasah pemain golf Malaysia,” katanya.
Sementara itu Naib Presiden Kanan IMG, Robbie Henchman berkata, program tersebut memberi peluang kepada pemain muda wanita negara untuk memajukan diri.
“Program ini akan memperincikan kekuatan dan kelemahan setiap peserta dan perkara yang perlu dimantapkan.
“Saya yakin para pelatih akan lebih yakin dan memahami keupayaan mereka pada akhir program,” katanya.
Program pembangunan itu terbuka kepada semua pemain golf wanita dari seluruh Malaysia dan mereka yang di bawah naungan Persatuan Golf Wanita Malaysia (MLGA) dan Persatuan Golf Malaysia (MGA) serta peserta Program Pembangunan Junior KLGCC.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: