Saturday, August 21, 2010

Hotel Mutiara serba istimewa


KETIBAAN tetamu disambut kakitangan yang mesra dan sedia membantu.


SEBUT sahaja Johor Bahru atau pasti ramai yang membayangkan kesibukan sebuah bandar yang terletak berhampiran dengan Selat Tebrau.

Bagi yang menuju ke Kota Singa di seberang, Johor Bahru sudah menjadi lokasi persinggahan utama. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri yang menggamit pelancong dari dalam dan luar negeri.

Selain makanan yang enak dan mudah diperolehi, Johor Bahru menjanjikan gaya hidup urban seperti bandar-bandar besar lain seperti Kuala Lumpur, Langkawi, Ipoh dan Pulau Pinang.

Jika ke Johor Bahru, persinggahan di Hotel Mutiara di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Century mungkin dapat menghidupkan lagi percutian. Lokasinya strategik di tengah bandar raya yang termasuk di dalam Wilayah Iskandar Malaysia.

Baru-baru ini, hotel yang beroperasi sejak 1982 itu berubah wajah selepas kerja-kerja penambahbaikan yang menelan kos RM8 juta.

Keindahan bilik dan ruang legar hotel kini nampak lebih muda berbanding usianya.

Pengurus Besar Hotel Mutiara, Khoo Heng Poe berkata, hotel itu dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Sayap Tebrau dan Sayap Pelangi yang menyajikan keindahan bandar raya Johor Bahru kepada penginap.

Hotel Mutiara menyediakan lebih 322 bilik pelbagai pilihan terdiri daripada jenis studio, superior, deluxe, keluarga dan bulan madu dengan kadar antara RM450 hingga RM1,200 semalam.

“Penginap yang mempunyai anak-anak kecil juga berpeluang mendapatkan bilik junior yang dilengkapi permainan Sony Playstation,” katanya.

Heng Poe berkata, berlatarbelakangkan panorama dan landskap indah bangunan pencakar langit, setiap bilik mempunyai ruang tamu yang dihias dengan rekaan perabot kontemporari.

“Kemudahan lain termasuk televisyen (TV) LCD beserta stereo mini dengan fungsi cakera padat dan cakera padat video,” katanya.

Hotel juga menyediakan kemudahan panggilan antarabangsa secara dail terus, peti sejuk mini, kemudahan membuat kopi dan stesen televisyen berbayar.

Selain itu, pengunjung juga mendapat keistimewaan semasa pendaftaran masuk dan keluar, bersarapan di lokasi terpilih, surat khabar setiap pagi dan sistem kunci elektronik.

Penginapan di hotel itu bagaimanapun tidak lengkap tanpa menjamu selera di Restoran Seri Mutiara yang menawarkan aneka masakan termasuk Barat, Asia dan tempatan. Bagi yang mahu bersantai sambil menikmati persembahan muzik, Polo Lounge adalah jawapannya.

Di Mutiara Terrace & Deli Corner yang terletak di lobi hotel tersedia pelbagai jenis pastri, kek dan minuman ringan dari pukul 10 pagi hingga 11 malam manakala Restoran Meisan Szechuan menawarkan makanan ala Cina.

Jika berendam di dalam kolam renang tidak memadai untuk merehatkan badan dan minda, Spa Mutiara mungkin tempat istirehat yang paling mujarab untuk membelai tubuh yang keletihan.

Beliau berkata, kedudukannya yang terletak berhampiran pusat membeli-belah terkemuka di Johor Bahru seperti Jusco Tebrau City, Johor Bahru City Square dan Plaza Angsana menjadikan Hotel Mutiara pilihan yang tepat untuk bermalam di Johor Bahru.

Maklumat lanjut mengenai hotel boleh diperolehi dengan menghubungi 07-330 0300 atau layari www.mutiarahotels.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: